Tuesday, May 31, 2011

MEMANG TAK SANGKA...

Memang Tak Sangka.. apabila mendapat berita tentang tragedi tanah runtuh di Batu 14. Ditakdirkan dengan runtuhnya tanah itu..terkorbanlah 16 nyawa, 14 kanak-kanak 2 dewasa. Alahai..tiada apa lagi yang boleh diulas. Tiada apa lagi yang perlu dikata. Alhamdulillah rakan-rakan sukarelawan yang tika itu berada di Sungai Congkak bergegas ke sana. Buat apa sahaja yang terdaya. Sediakan makanan kepada pasukan penyelamat yang berusaha. Sampaikan maklumat kepada rakan-rakan dari semasa ke semasa.

Setelah mendapat maklumat keperluan bahan-bahan mentah dari lokasi bencana. Alang dan Yus bergegas ke sebuah mini market di Jalan Gasing.  Pekerja-pekerja mini market itu tertanya-tanya mengapa kami membeli barangan dalam jumlah yang banyak. Apalagi kami terus ambil peluang bercerita tentang misi bantuan untuk mangsa-mangsa tanah runtuh yang mengorbankan nyawa anak-anak yatim dan miskin di Hulu Langat itu. kami juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan diskaun, mereka mengangguk-ngangguk tanda ‘tiada masalah’. Apabila berada di depan kaunter untuk melunaskan bayaran, terpapar di skrin casher keseluruhan kos adalah RM278.55 dan jumlah yang perlu dibayar adalah.. RM275.00. “laa.. diskaun RM3 je  ? ” Yus bertanya. “diskaun juga.. bukan RM3.00 saja tapi RM3.55” Casher itu menjawab bangga. Alang memandang Yus..Yus mencebik tak puas hati. mmmm.. Memang Tak Sangka mini market sebesar itu, yang jelas tertulis ‘mini market keluarga’ tidak tahu di mana letak ciri-ciri kekeluargaannya.  Jauh sekali rasa berkeluarga dengan mangsa-mangsa yang sedang menderita.. Agaknya jika dibawa reporter untuk membuat liputan berkaitan keprihatinan, baharulah nilai-nilai kekeluargaan itu ditonjol-tonjolkan. :p

Cerita bab reporter ni..mmm.. satu lagi yang Memang Tak Disangka. Di lokasi bencana..tugasan utama sukarelawan adalah memasak dan menyediakan makanan panas untuk tenaga-tenaga penyelamat seperti Bomba, JPAM dan Tentera . Tetapi lumrah sukarelawan SALAM memang tidak boleh duduk diam, apabila tugasan utama dilangsaikan. Kami bergerak ke lokasi tumpuan, melihat botol-botol mineral bertaburan, tin-tin minuman berselerakan dan kotak-kotak berlonggokan, sukarelawan dah tak senang duduk. Itu semua boleh di’recycle’kan !. Apa lagi para sukarelawan terus mengutip, mengumpul dan membawa apa sahaja yang boleh dikitar semula keluar dari lokasi tumpuan. Sedang orang ramai terpusu-pusu melihat  apa yang berlaku, sukarelawan ‘terpusu-pusu’ mencari sesuatu. Sedang orang ramai  bercerita dan mengulas tentang kejadian yang menyayat hati itu. Sukarelawan pula bercerita tentang aktiviti-aktiviti sukarela yang lain yang boleh dijalankan hasil jualan barangan buangan itu. Sedang orang ramai yang sibuk keluar dan masuk itu memandang sebelah mata tentang aktiviti kitar semula ini. Sukarelawan pula membuka kedua-dua belah mata untuk mengumpul seberapa banyak barangan yang boleh dikitarkan. Tup. Tup. 2 orang reporter berbangsa Cina dari The Star merapati kami, bertanya tentang itu dan ini..tentang SALAM, tentang aktiviti sukarela, tentang kitar semula sehinggalah kaitannya dengan tanah runtuh ini akibat kurang kesedaran manusia tentang alam sekitar dan penjagaannya. Kami meneruskan aktiviti mengutip, mengumpul dan memenyekkan tin. Kami melepasi sekumpulan reporter dan cameraman Melayu yang sedang membelek-belek camera.Tiba-tiba terdengar suara dari kumpulan itu... “buat apa laa nak buat liputan bab-bab kutip sampah ni.. dah boss suruh fokus tanah runtuh.. buat tanah runtuh je la !”  hai…Memang Tak Sangka..ayat itu keluar dari mulut reporter Melayu..harap mereka janganlah menganggap kami inginkan liputan. Dahagakan ke’glamour’an. Kami hanya bertindak atas dasar ingin bertindak. Bertindak sebab tahu, ia perlu diambil tahu dan bukan buat-buat tak tahu atau datang dengan gaya serba tahu !. kami bukan mahukan pujian memuncak atau gambar terpapar di akhbar. Selama ini pun kerja-kerja sukarela terus terlaksana  tanpa ada reporter yang berkejar sama. :p :p

Terngiang-ngiang di telinga Alang, kata-kata Tok Mat ( Datuk Ahmad Talib, Executive Director News and Editorial of the Media Prima )..dia kata.. "kalau anjing menggigit budak.. Itu berita biasa.Semua orang nak cerita. Bila semua nak cerita..Bila semua buat perkara yang sama..itu dah tak ada nilai berita. Tapi yang ada nilai berita adalah..bila budak menggigit anjing. Ia nampak terpencil. Jarang-jarang. Tapi itulah berita! Itu yang kita cari !”

Agaknya..isu penjagaan alam ketika alam memerlukan penjagaan..tidak setaraf isu budak menggigit anjing.. ketika banyak anjing menggigit budak.. :p :p :p

Thursday, May 19, 2011

BINGKAS LAH PULAU KUNDOR !

Tibalah sesi memperkenalkan diri fasilitator.  Amir, Aznam, Farhan, Zul, K.long, K.ngah, Yus, Mas, Lia, Yani, Ain dan Erme berbaris.. tersenyum mesra.  Lagi lebar senyuman ex-fasi tahun 2010 dan 2009 bila nama mereka diingati tanpa perlu memperkenalkan diri. Seorang demi seorang memperkenalkan diri. Alang memandang saja sambil memerhati gelagat kanak-kanak mengingati nama-nama fasilitator. Mereka tidak boleh mencatat. Mereka hanya perlu mengingat. Jika gagal, markah kumpulan jadi taruhan. Sengsarakan ? heee.. Tiba-tiba terdengar tawa pecah di satu kelompok peserta. Alang terus berpaling kepada barisan fasilitator “siapa fasi yang buat lawak ?” terpandang fasi yang sedang memegang mic. Pelik ! tiada riak lawak di wajahnya. Yang ada hanya riak tegang. Tapi kenapa peserta ketawa ?. “kenapa ketawa ?” soalan yang sama  terlontar dari mulut fasilitator itu. Kelompok peserta itu senyap membatu, tunduk membisu. Aik ? baru tadi ketawa dah macam tak bernyawa ?. “Kenapa ketawa ? akak tak suka ya..adik-adik ketawakan nama orang” fasilitator itu memberi amaran. Merah mukanya. “Siapa yang ketawa..bangun !” Arah fasilitator tersebut. Kelompok peserta tidak menganjak dari ruang duduk mereka.  Alang dah tak boleh duduk diam. Dah panas ! mereka ketawakan nama fasilitator. Tiada sifat hormat kepada orang yang tekad berhemat. Tiada rasa menghargai orang yang ingin menabur budi. Jika bukan fasi pun.. nama sesiapa sahaja tidak boleh diketawakan. Tidak boleh sama sekali.Lebih-lebih lagi orang yang lebih tua. Ini maruah ! ini harga diri ! Alang terus bangun dan menuju ke kelompok peserta tersebut. Semua tunduk memandang meja. “Siapa yang ketawa tadi ?” Alang bersuara mendatar. Semua senyap. “Siapa yang ketawa tadi ?” Alang keraskan suara. Juga tiada reaksi. “ Bangun ! Siapa yang ketawa tadi ?” Alang terasa suara Alang bagi halilintar membelah bumi. Sembilan orang peserta bangun hampir serentak. “kenapa ketawakan kakak tadi ?” Alang bertanya seorang demi seorang. Semuanya mengunci mulut. Semuanya mengangkat bahu. Semuanya tak tahu kenapa mereka ketawa ! semua tak tahu apa penyebabnya ! Mustahil ! “keluar ! berbaris di situ !” Mereka diarah keluar dari kantin sekolah. Berbaris lurus menghadap ke ruang peserta berkumpul.  Mereka didenda berdiri separuh. Tiada jawapan diperolehi.. pelik ! pelik ! Sesi pertama di hari pertama yang memanaskan jiwa ! 

………………………………….

“ Alang.. Alang !” terdengar nama  dipanggil. Memang Alang mengecam suara itu.. suara fasilitator yang namanya diketawakan semalam. “Saya dah tahu kenapa diaorang ketawakan nama saya ” Fasilitator itu  tersenyum. “nape ?” Alang teruja ingin tahu. Apa sebabnya. Apa masalahnya sehingga ‘sebab itu’ tidak mahu digemburkan. “camni..budak kumpulan saya baru bagitau tadi. Nama saya sebenarnya sama dengan  nama sorang budak kampung ni. Budak tu hidu gam. Entah macam mana satu hari tu..budak tu hidu punya hidu..tiba-tiba gam terlekat kat mulut dia.. terus tak leh bukak mulut”. Ha ha ha ha ha “pasal tu laa.. diaorang tergelak..diaorang teringat budak tu”. 

Alang tak boleh menahan ketawa. Terbayang ‘style’ budak yang ketagih gam. Mereka memasukkan gam gajah atau gam kasut dalam plastik. Setiap kali mereka ingin menghidu.. mereka akan membuka sedikit mulut plastik, meletakkan hidung , menghidunya dan terus menikmatinya. Mungkin budak itu tersilap langkah..terlalu gelojoh kerana terlalu ketagih. Lalu mulut plastik dibuka seluas-luasnya. Bukan sahaja hidung  malah mulut juga memainkan peranan yang sama. Hidu punya hidu..Akhirnya.. gam kasut yang tujuannya untuk melekatkan kulit kasut..akhirnya.. melekatkan kulit bibir .. ha ha ha ha..

Adik..adik.. kalaulah sebab ini dimaklumkan. Sudah pasti korang tidak menjalani hukuman. Dalam ketawa..Alang menggeleng kepala.

Wednesday, May 11, 2011

EDISI CHANGKAT IBUL & AYER PUTEH

Macam-macam kisah di sini..Macam-macam gaya budak yang ditemui. Pelbagai cara diguna, pelbagai pendekatan dipraktikkan. Ada yang menjadi.. ada juga yang tak jadi-jadi. Ada yang seperti mentaati.. ada juga yang seperti tiada erti. Ada yang semangat..ada juga yang muka macam kena sengat.  Adoooiii… betullah bak kata pepatah. Lain padang lain belalang..lain orang lain ragam..

Itulah fasilitator BINGKAS. Fasilitator yang bernama sukarelawan. Hakikatnya seorang sukarelawan..memang perlukan rasa suka dan rela. Bila suka.. kita akan lakukan apa sahaja, korbankan apa yang ada, berkongsi apa yang sedia, meski mencabar tetap tegar, meski banyak keletah tetap tidak melatah, bersabar  tanpa alah, bersungguh tanpa mengeluh. Hebat penangan rasa suka kan ? 

Bila rela pula bersarang di jiwa.. bagai di depan tiada halangan. Jika ada halangan.. diterima dengan penuh keterbukaan. Rela berada dalam kesusahan. Rela bergelumang dengan cabaran. Rela meredah meski parah.

Rela kerana suka. Suka kerana rela. Suka ! Suka ! :)

Wahai rakan yang budiman. Teruskan rasa suka dan rela itu. Hanya dengan itu sahaja..yang dianggap ‘apa-apa’ tidak akan menjadi apa-apa. Malah tidak akan timbul istilah mengapa dan kenapa ..jauh sekali..timbul kata-kata ‘xde kerja cari kerja’.

Rakan-rakan.. kerana suka dan rela juga..ingin alang berkongsi hadis Rasulullah SAW yang kita cintai ini..

Dari Anas ra, dia berkata “ Telah bersabda Rasulullah SAW. Barangsiapa yang berjalan untuk memenuhi keperluan saudaranya, Allah akan menulis untuknya setiap satu langkah sebanyak tujuh puluh kebaikan dan menghapuskan tujuh puluh keburukannya. Jika dia berhasil memenuhi keperluan saudaranya itu, maka dia bersih dari dosanya sama seperti tika hari dia dilahirkan. Jika dia mati di saat itu, maka dia masuk syurga  tanpa dihisab”

Besar faedah yang tersedia untuk kitakan rakan-rakan? 

( teringat pulak alang..tika rombongan fasi Jelutong merentas highway dengan sleeping bag tergantung di leher…huhuhu )

Thursday, May 5, 2011

MAKAN..MAKAN & MAKAN...

Jika kita pengamal Detox, bukanlah satu masalah jika kita tidak menjamah sebutir nasi pun selama seminggu. Jika kita pengamal Detox, kita tidak kisah menurut syarat-syarat untuk hanya  memakan salad, tomato, karot, pisang atau susu selama tempoh itu. Kenapa kita mengurangkan kadar makanan harian ? kenapa kita sanggup mengosongkan perut ?.. semua itu kita lakukan dengan rela sebab kita tahu manfaatnya..sama juga jika  kita berpuasa.  Tetapi jika kita dipaksa untuk berlapar sedang kita boleh untuk kenyang ? Bagaimana ? sudah pasti kita tertekankan ? Jika kita dipaksa memakan sayuran sedangkan  nasi yang menjadi rutinan terhidang di depan mata tetapi dilarang menyentuhnya  ? bagaimana ? mesti jiwa kita rasa meronta-rontakan ? 

Hakikatnya itu lah kita.. itulah kita yang pantang perut bunyi berkeriut.. mulalah otak ligat berputar..nak makan apa ? nak makan di mana ? nak ajak siapa ? jika ada duit lebih..mmm.. tidak mengapa dilaburkan sedikit.. bukan untuk orang lain..untuk perut sendiri juga.. heee.. jika duit seperti biasa tetapi mahu makanan yang gred A.. jom lah ke Bomba.. jika duit seperti biasa juga tetapi mahu makan yang biasa-biasa.. seksyen 8 atau 14 la jawabnya.. yang terbaru cafĂ© NPC . apa-apa pun atau di mana-mana pun.. tak mengapa.. yang penting keriutannya perlu didiamkan. Bila keriutnya sudah diam, kita pula yang bungkam,kaki macam dah kena gam, otak dah macam lembam..sebab perut penuh dengan isi yang macam-macam.. mmm… itu lah kita.. Alang sebenarnya…Astagrafirullahala’zim.. 

Kenapa Alang cerita bab makan plak nih ? sebenarnya perut Alang sekarang dah lebih muatan. Jika ia disamakan dengan lori..silap hari bulan berpotensi menjadi tahanan JPJ. Dalam perut ni.. ada lebih 10 ulas durian Batu Kurau.. dalam perut ini juga ada nasi berlaukkan ikan siakap bakar, sotong goreng tepung, kangkung goreng belacan dan air tembikai. Tak cukup lagi dengan itu.. ia ditambah pula dengan jeruk mangga, jambu air madu dan pelbagai jenis asam…kuaci juge.. eeee.. ( bila baca semula perenggan ni.. Alang tertanya sendiri.. perut Alang ke tu ? eeee.. bukan lah ! bukan ! bukan ! .. mmmm.. sebenarnya YA ! memang ye pun..perut jenis ape tu ? Astagrafirullahala’zim…. )

Bila perut dah kenyang.. lebih banyak perkataan ‘adooooiiii’ dari Alhamdulillah.. Astagrafirullahala’zimmmm !!. itulah kalau kita terlalu kenyang.  Memang buruk ! Memang Teruk ! Masa dah kenyang baru nak menyesal. Masa makan tadi.. Ambooiiii … agaknya syaitan bukan main lagi..menyua-nyua makanan yang masih belum habis… “ambik yang tu” “ambik yang tu plak” “eee.. jgn membazir nanti jadi kawan kami..”. Sudahnya kita yang merana kekenyangan.  jangan laa.. mati masa kenyang nih.. menyusahkan orang nak uruskan jenazah je... eeee.. X mou ! X mou !

Rasa berdosa.. Terimbas Hadis Rasulullah SAW “Orang yang paling kenyang makan di dunia akan menjadi paling lama lapar pada hari kiamat.” (HR. Al Hakim).  Lagi satu Sabda baginda, maksudnya; “Janganlah kamu mematikan hati dengan banyak  makan dan minum, walau pun yang halal. Kerana hati itu ibarat tumbuh-tumbuhan, ia akan mati jika terlalu banyak disirami air”. Allah SWT juga dah memberi peringatan  dalam Al Quran maksudnya; “Makan minumlah kamu, tetapi jangan berlebihan” (Surah Al ‘Araf ayat 31).

Dah tu kenapa dibuat ? Ampun Ya Allahhh…Semoga Allah memimpin dan membimbing Alang yang mudah lupa ini..dalam rasa bersalah…terlayang fikiran Alang pada 3 orang kanak-kanak  yang tinggal di rumah PPRT di Seremban Selatan.. Aduhhhh.. apalah yang mereka makan malam ni kan ? kasihaaaannn..

Adik-beradik itu..Alang temui ketika bersama-sama Group My Ole-Ole Seremban.. Yani, Aniza, Ash & Su. Turut disertai oleh Pelajar-pelajar Kolej Mara Seremban  dan  AADK Seremban.Projek ini adalah projek mengagihkan makanan kering dan tahan lama seperti beras, minyak masak, susu, tepung, gula, garam, kordial dan sebagainya kepada keluarga-keluarga yang daif.  

Alang tengok jam.  Dah Pukul  11.19 malam. Sudah pulangkah ibu mereka membawa makanan ? atau sekarang  mereka sedang menikmati sebiji burger seorang bagi mengalas perut yang seharian tidak menjamah makanan atau tertidur dalam kelaparan tika menunggu  ibu yang tidak pulang-pulang..
……..
Hari itu..Kak Yam ( AJK Masjid merangkap penunjuk arah ) membawa kami ke deretan rumah PPRT. “dok sini dulu ya.. biar akak tengok.. takut pulak kalau tak ada kat rumah “ bergegas Kak Yam keluar dari kereta. kami yang berjumlah 16 orang menunggu di tepi jalan. Menunggu dan menunggu…  dari jauh nampak Kak Yam berjalan bersama  3 orang kanak-kanak. Melangkah agak lambat..takut..takut.. bertolak-tolak mereka di belakang Kak Yam. 2 lelaki seorang perempuan.
“Mak diaorang keje.. diaorang je ada.. baru balik dari sekolah” Kak Yam menyampaikan maklumat itu. Seorang demi seorang muncul dari belakang Kak Yam. Bersalam dan mencium tangan kami. “ yang ini darjah 6.. yang ini darjah 3..yang bongsu ni darjah 1” Kak Yam mengusap-ngusap kepala yang bongsu. Malu mereka diperkenalkan.. tersenyum dan pandangan dilarikan ke tanah. “jom lah ! kita tengok rumah diaorang..” ajak Kak Yam. Kami bergerak..berlari anak-anak itu  ke rumah mereka. Sampai di hadapan rumah. Ada 4 cermin tingkap telah pecah. “masuklah..tapi maaf rumah kami bersepah” kata adik perempuan yang berada di darjah 3. Di kuis-kuisnya sampah masuk ke bawah TV. Si abang dan si bongsu pantas mengalihkan baju-baju yang belum berlipat.  Berlari adik perempuan itu mendapatkan tikar dan membentangkannya di hadapan TV… Alahaii..terasa sayu melihat kesungguhan mereka melayan kami. Mata ini liar memandang sekeliling.. agak tak terurus rumah ini.. ya laah..hanya mereka yang tinggal. Ibu mereka berulang-alik setiap hari ke Kuala Lumpur. Seawal pagi keluar dan lewat malam baru kembali. “budak-budak ni jarang makan tengah hari.. nanti mak diaorang balik dalam pukul 11 malam.. baru makan” bisik Kak Yam. Tersentak Alang dibuatnya. Mata alang memandang rakan-rakan yang lain. Bagai ada rasa yang sama. Bagai ada sedih yang menjerut jiwa. “adik-adik lapar tak ?” Alang bertanya. Mereka bertiga saling berpandangan. Yang sulung mengeleng perlahan. Yang kedua pun sama. Yang bongsu bagai menelan air liur. “mmmm…adik-adik nak makan tak ?”. Pantas mereka mengangguk-ngangguk kepala. Manis wajah mereka dihiasi senyuman. Ada terselit sedikit senyum malu kerana menyembunyikan rasa kosong di perut tadi. Tak mengapa adik..keletah kanak-kanak..sukar untuk menipu.

Adik-adik itu dibawa ke kedai makan. Sementelahan itu rakan-rakan sukarelawan yang berada di rumah tidak duduk diam. Menyusun buku yang  tidak tersusun. Membasuh pinggan yang tidak terbasuh.  Menyapu sampah yang bersepah. Membuang sampah yang lama terbiar. Dan macam-macam lagi. Licin rumah itu dikerjakan. 

Apabila mereka pulang membawa beberapa bungkusan makanan. Kami sudah bersiap sedia untuk pulang. Sengaja buat begitu, takut mereka segan menyuap makanan bila banyak mata yang memandang. Masuk sahaja ke rumah..adik-adik itu terus bersila di lantai. Bersedia membuka bungkusan. Tapi terhenti seketika  “adik-adik.. akak dengan abang balik dulu ya.. jangan nakal-nakal.. belajar rajin-rajin tau. Mm.. di belakang tu ada sumbangan barang-barang makanan dari kami..nanti bagitau mak ya “ kata wakil kami .  Mereka mengangguk laju, jari jemari pantas membuka bungkusan. Tangan kanan terus menyuap makanan, tangan kiri melambai tak henti.. mulut yang penuh dengan makanan tak lekang dengan senyuman. Mata yang redup menahan lapar, kembali bercahaya dan cerah bersinar.  Comel..