Wednesday, September 21, 2011

JAUHNYA PERJALANAN...

Bidalan orang  tua.. jauh perjalanan luas pemandangan maka banyaklah pengalaman. Itu betul jika kita menjadikan perjalanan yang jauh itu dan pemandangan yang luas itu sebagai mekanisme untuk menambah pengalaman.  Bukan setakat melihat ciptaanNya di alam yang luas ini.. tetapi roh penciptaan itu sendiri. Bukan setakat berjalan merentasi denai, jalan, hutan, sungai, laut dan awan-gemawan tetapi roh perjalanan dan penyaksian itu sendiri.  Bukan setakat merasa segar menghirup kedinginan pagi tetapi menjiwai  roh ketenangan yang menjadi kembarnya. Justeru bukan setakat pengalaman diperoleh tetapi kesedaran sebagai entiti yang sangat kecil jika dibandingkan dengan alam yang luas ini. Kesedaran sebagai entiti yang tidak memiliki apa-apa jika tidak diizinkan untuk memilikinya.  Kesedaran sebagai entiti yang hidup sehingga kehidupan itu dinoktahkan. Kesedaran sebagai entiti yang berdaya atas kemampuan yang dianugerahkan dan lemah atas kekurangan yang ditakdirkan. 

Semoga akal yang ada ini masih mampu berfikir dan menimbang.. semoga hati yang ada ini masih mampu mendetakkan rasa insaf dan syukur.. semoga mata yang ada ini masih mampu melihat ikhtibar di sebalik kejadian..semoga telinga yang terpasang ini masih cenderung merisik kebaikan..semoga  jasad yang dipinjamkan ini masih mampu menjadi entiti yang punya rasa ingin memberi untuk menjadikan hidup ini lebih bermakna.. 

Allah SWT berfirman dalam wahyunya yang bermaksud “ maka tidak pernahkah mereka berjalan di muka bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang ada di rongga dada” ( Al-Hajj :46 ) 

Semoga hati kita baik terpelihara..Insyaallah

Sunday, September 4, 2011

MYCorps DI KUALA TRENGGANU..

Menghadapi calon-calon MyCorps Trengganu. Macam-macam juga.. Antara belasan calon, terdapat seorang calon lelaki berbaju merah berbunga-bunga putih. Gaya santai di pantai..hahaha..Ganu Kite.. Bila ditanya apa kemahiran yang dia miliki ? “ Saya pandai memasak. Saya boleh buat kuih. Mak saya yang ajar. Kuih sekaya dengan akok saya memang sedap. Orang sampai datang rumah nak tempah” Bangga dia menceritakan kemahirannya itu. Apabila ditanya lagi..apa kemahiran lain yang dia miliki ? “oohh..saya mempunyai daya tarikan” kami serentak mengangkat kening. Daya tarikan ?. “Kuih-kuih mak saya di bazar mesti habis..sampai tak cukup. Bukan sebab sedap saje..tapi saya lah daya tarikannya.. sayalah satu-satunya lelaki yang pakai apron ! “. Hahahaha.. sungguh yakin dan bersemangat !. 

Calon yang seterusnya masuk.  Seperti meyakinkan. Kemas dan tersenyum. Ditanya..apa itu MyCorps ? “MYCorps adalah satu program yang berkaitan dengan jenayah. Kita akan menjadi mata-mata polis. Sebarang kejadian jenayah kita laporkan secepat mungkin..” hahahaha.. pecah ketawa dalam bilik temuduga itu. Haiii..gaya dah ada. Senyuman menawan. Berjalan penuh keyakinan. Tapi  makna MyCorps dan Rakan Corp bercampur dalam fikiran heeee..

Tepat jam 1.00 petang sesi temuduga calon-calon Trengganu tamat.  Mmm ade mase nak p Pasar Payang ni..huhuhu. Tengah window2 shopping tiba-tiba dapat panggilan dari Jabatan Belia, ade sorang peserta lagi tengah tunggu. Adoooiiii.. jam dah pukul 2.30 petang. Anti klimaks tul calon ni !.  Timbang punya timbang.. kami putuskan untuk menemuduga calon tersebut. “kak lang tau.. soalan yang saya nak tanya.. Ape hebatnya kamu hingga orang lain boleh datang pagi.. kamu pulak datang petang” Tini merangka-rangka soalan. Alang pun nak tunggu ape jawapannya. 

Kami menunggu dalam Bilik Temuduga. Pintu diketuk. “Masuk” Tini bersuara. Calon itu berbaju batik. Bersongkok kemas.Surat Panggilan Temuduga dihulur. Ops ! masa..2.30ptg. Soalan Tini tidak terutara. “ Bagi saya aktiviti sukarela ini adalah tanggungjawab saya kepada Allah dan agama. Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain, itu pesan Rasulullah SAW. Itu yang menjadi motivasi dalam diri saya. Alhamdulillah sejak tiga tahun saya terlibat dalam membantu golongan penagih dadah.. Allah telah memudahkan urusan saya dalam membantu abang saya keluar dari belenggu dadah” Katanya perlahan tetapi cukup jelas. Itu antara jawapan yang diberi.Segala-galanya adalah agama. Minatnya bermula dari agama. Motivasinya berpunca dari agama.Gerak dan perancangannya juga berdasarkan agama.Persis berhadapan dengan Calon Imam Muda gayanya.. :)


Melihat calon ini, alang mengakui..jika kita bersukarela sebab memang kita minat dengan kerja-kerja komuniti, ia takkan kekal, kerana minat akan turun dan naik. Jika kita bersukarela sebab kawan-kawan, bila kawan hilang, kita akan melayang. Jika kita bersukarela sebab mengisi masa lapang, bila komitmen kita bertambah,kerja ini sudah tidak terarah. Tetapi jika kita lakukan sebab Allah menyukainya dan agama menuntutnya, kita akan merasakan ia satu tanggungjawab sebagai Hamba Allah yang sepatutnya insaf dan bersyukur dan sebagai khalifah yang sepatutnya bermanfaat.
 
Alang baru terbaca sebuah hadis Rasululullah SAW “Lepaskanlah diri kamu dari keserakahan dunia sedaya upaya kamu, kerana sesiapa yang menjadikan dunia sebagai tujuan hidupnya, Allah akan mencerai beraikan miliknya yang telah terkumpul dan menjadikan kemiskinan di dalam pandangannya. Sesiapa menjadikan akhirat tujuan dan cita-citanya, Allah akan menghimpunkan miliknya yang bercerai berai, lalu dijadikan kekayaan dalam hatinya dan dimudahkan untuknya memperoleh segala kebaikan” Diriwayatkan oleh Thabrani, Mu’jam AlKabir

MYCorps DI KUANTAN..

Wow ! Bulan Puasa ke ? soalan itu ditujukan kepada Tini, orang kuat Unit Pembangunan Sukarelawan KBS. “ dah tak ada masa kak lang, boleh la ye..” Tini seperti memberi kata putus dalam lentok bahasa yang lembut. ”Insyaallah.. boleh..” Alang cuba bertolak ansur tetapi memang teruja untuk menjayakan Siri Temuduga MYCorps. Bergerak dari Petaling Jaya, Selangor ke Kuantan Pahang, seterusnya ke Kuala Trengganu kemudian ke Kota Baharu Kelantan dan akhir sekali ke Ipoh Perak. Dalam tempoh 8 hari. Memandu sendiri. Dalam Bulan Ramadhan !.  Alang tersenyum.. mmm.. tak pernah rasa lagi pengalaman macam ni. Boleh ke ? cuba dulu.. tak daya kita buke.. alang cakap pada su. Su akan jadi co-pilot.. kami akan bergilir-gilir, Alang memandu..dia tidur. Dia tidur..Alang memandu hahahaha. 

Cerita di Kuantan..bukan calon sahaja yang terduga. Si penemu duga pun terpaksa menempuh dugaan. Rasa macam nak ketawa campur rasa nak menangis teresak-esak. Huhuhu.. Alang tak ingat calon ni.. calon yang ke berapa. Dia masuk aje..wah ! struktur fizikalnya lagi tinggi dan lagi besar dari kami berdua. “Boleh saya duduk” dia memulakan bicara. Kami mengangguk. “Siapa nama saudari berdua ?” Aik ? ini sape yang temuduga sape ?.  Calon ini gayanya hebat. Jaringan kerjanya juga kedengaran hebat. Kenal orang besar itu dan orang besar ini. Buat kerja itu dan buat kerja ini. Tahu konsep itu dan tahu pendekatan ini. Soalan ditanya satu.. jawapan diberi seribu. Soalan ditanya dua jawapan diberi sejuta. Akhir sekali, dia beri pendapat. “kalau saya jadi saudari berdua.. saya tak akan pilih budak-budak kat luar tu.. merapu !” Dia merujuk kepada calon-calon lain yang sedang menunggu di luar. ‘Hebat’kan calon ni ? heeee… 

Masuk pulak calon seterusnya. Cuak-cuak. Malu-malu. Alang tersenyum. Inilah gaya calon temuduga !. “saya adalah orang asli.. saya yakin dengan ilmu yang saya dapat nanti..saya boleh bantu belia di kampung saya untuk aktif..keluar dari kepompong.. jangan macam katak bawah tempurung” jawapan itu diberi apabila ditanya mengapa dia berminat. Apabila ditanya lagi..pernah tak timbul perasaan rendah diri apabila beraktiviti dengan komuniti luar ? “bohong kalau saya kata saya tidak rendah diri..takut orang tak percaya pun ye juga, saya tahu ini juga antara sebab mengapa belia kampung saya tidak mahu terlibat dengan program sebegini.. saya yakin jika saya terpilih..saya akan bertambah yakin dan boleh meyakinkan kawan-kawan saya untuk berani keluar, berani bergaul dan aktif bekerjasama dengan persatuan-persatuan belia yang lain”. Rasa terharu dengan semangat calon ini. Antara rasa terpinggir dan rasa ingin berkawan. Antara takut ditolak dan berani bertindak. Antara rendah hati dan yakin diri. Antara risau dipersenda dan semangat menyala.

Menjadi si penemuduga kita akan bertemu dengan ramai manusia. Pelbagai gaya. Pelbagai cita rasa. Pelbagai kekuatan. Pelbagai kelemahan. Pelbagai harapan. Lantas melorong kita untuk mencari diri sendiri dan menilai peribadi.

“Hendaklah kamu mengambil ibarat iaitu pelajaran, perbandingan dan sebagainya, wahai orang-orang yang berfikir” (Surah AlHasyr : 2)