Saturday, August 20, 2011

Terawikh Itu Terawat..

Selamat Berpuasa..Selamat menunaikan ibadah ini yang akan sampai ke titik hujungnya..semoga kita sama-sama memperoleh rahmat dan berkatNya. Semoga Allah menguatkan jiwa kita untuk terus ikhlas dalam beragama dan dalam bersamaNya.

Setiap kali alang pergi ke surau di blok sebelah. Setiap kali itu juga alang akan bertembung dengan sorang makcik yang bertatih-tatih menuju ke surau.  Alang kira-kira umur makcik ni mungkin antara 60 hingga 65 tahun. Bersemangat dia nak memeriahkan malam Ramadhan dengan amalan. Kuat dia untuk beribadat bagi memperoleh ganjaran yang berlipat. Alahai..teringat mak di kampung. Sayu lak..

Dalam hati alang terdetik.. makcik ni duduk rumah anak dia kot. Ye laa kan.. dah tua. siapa lagi yang diharap untuk menjaga. Kalau tidak anak sendiri yang telah dibesarkan sepenuh hati. Jika biasa di kampung sudah pasti tak betah  untuk tinggal di suasana yang berbeza. Tiada ayam..tiada itik..tiada pokok-pokok bunga untuk diurus..tiada tanah keliling rumah untuk disapu sampahnya..tiada suara rakan-rakan mengaji, bertahlil dan bermarhaban. Kasihan makcik.. dapat alang bayangkan resah gelisah mak bila duduk di rumah anak-anak lebih dari dua hari..  macam nak demam... huhuhu.. mak..mak..

Minggu lepas sebelum Alang ke Pantai Timur ni.. Alang sempat berbual-bual dengan makcik...... ( errr..tak ingat plak nama dia heee ). "mak cik duduk dengan anak ?" alang bertanya. "tak.. anak-anak semua lelaki nak.. apalah kita nak harap sangat" mak cik itu tersenyum..tapi bersuara lirih. Kasihan.. terasa bagai ada yang terbuku dalam hati. "ni anak ni.. duduk dengan sape ?" giliran makcik itu bertanya. "duduk sorang makcik.." giliran alang pulak tersenyum dan bersuara lirih ( hahahahaha ). "ooooooo...single lah ni ?" makcik itu menepuk kaki alang. Alang ketawa kecil tapi sedikit terperanjat..'single' ? mak cik itu menyebut 'single'. "kerja mana ?" mak cik itu bertanya lagi. " Petaling Jaya" Jawab alang. "jauh tu.. kerja kerajaan ?" tanyanya lagi. " takk.." alang menjawab sepatah. "ooo.. swasta la ye" makcik itu meneka. " tak makcik.. saya kerja di Badan Bukan Kerajaan.. bukan kerajaan dan bukan swasta.. kerja tolong-tolong orang" alang cuba menerangkan.. harap-harap difahami. tapi memang ramai juga yang tak paham. "mmmm...NGO la nii" Makcik itu bersuara. Alang tersentak. Ops ! makcik ini tau istilah NGO ?.. bermakna makcik ini bukan dari kampung. "makcik dulu kerja di mana ?" Alang plak yang bertanya. Nak tau..siapa makcik ni. " 30 tahun mak cik kerja kerajaan.. last sekali dekat Kementerian Perdagangan. Beli rumah ni.. sebab dapat duit 'gratitude', kalau tak.. tak beli juga.. " mengangguk-ngangguk alang. Bukan sekadar memahami apa yang diperkatakan tetapi terjawab sudah mengapa istilah-istilah itu bleh keluar dari mulut seorang mak cik yang alang jangkakan dari kampung... malu rasanya..rasa cam tak patut Alang memandang 'kampung' pada makcik yang bertatih datang ke surau tu. Kalau makcik ni tau..aduuuiiii.. lagi malu Alang dibuatnya. Malu dengan sikap 'label melabel ni..". kalau makcik yang datang itu bergaya atau melangkah dengan senyuman berkeyakinan atau berantai mutiara berjurai ke dada atau bergelang emas tebal sedepa atau berpakaian sutera bertelekung berbunga pelbagai warna. Maka makcik itu akan dilabel moden, hebat dan berpendidikan. Tapi kalau yang datang itu.. bertatih-tatih atau tidak memakai sebarang perhiasan atau hanya menyarung kurung kedah lusuh atau telekung biasa tanpa sulaman. Maka makcik itu adalah dari kampung ..

Adoooiiiii.. teruk..teruk...tak mau dah alang punyai hati macam ni...malu dengan makcik tu..malu dengan diri sendiri..malu dengan Allah..Astaghrafirullahalazim...

Sesungguhnya Terawikh Itu Terawat. Dalam terawikh tanpa sengaja jiwa alang terawat.. terawat hati ini untuk cenderung menjadi lebih baik.. Semoga Allah mengizinkannya..

Sunday, July 17, 2011

KG. CHUBADAK..

Kami melawat mangsa kebakaran Kg.Chubadak di Dewan Komuniti Sentul Perdana. Bertanya-tanya khabar..bertanya-tanya keperluan.  12 keluarga hanya tinggal sehelai sepinggang. Jika tiada wang simpanan.. ditambah tiada sanak saudara atau sahabat handai menghulur bantuan..aduuuii.. amat sukar nak teruskan kehidupan.  Alhamdulillah.. maklumat keperluan asas mendapat respond baik dari Giant. Sumbangan terus diberi keesokan harinya.

“Terima kasih laa.. akak tak tahu nak cakap apa lagi..” kata seorang kakak.. bersalam erat..bergenang air matanya. 

“Alhamdulillah.. banyak-banyak terima kasih..inilah sumbangan paling banyak kami dapat” Pipi alang dicium kiri dan kanan. Alang rasa.. yang lain pun dicium sama. :)

“Apa nama pertubuhan ni ?” seorang kakak bertanya. “Yayasan Salam Malaysia” Alang membalas dengan jelas. “ ye..ye..memang pernah baca dalam surat khabar.. SALAM”. Alang tersenyum.. “ inilah SALAM rupanya..” kata-katanya terhenti dan kakak itu terus memeluk kami.

Tak berhenti kami nyatakan.. kami hanya orang tengah sahaja. Tak berhenti juga kami memaklumkan Giant yang memberi sumbangan ini semua. Tetapi.. masih tak berhenti juga kami mengungkap perkataan ‘sama-sama’..

Sebelum kami tinggalkan mereka. Sempat kami mengagihkan keperluan utama. Hanya tinggal pampers dan susu bayi sahaja. Itu kami serahkan kepada mereka untuk menguruskannya. Sebab hanya keluarga tertentu sahaja yang layak menerima. 

“kami balik dulu ya..”  Kami minta diri untuk pulang. Tapi ucapan itu bagai tidak didengari.. kerana  masing-masing sibuk memberi cadangan bagaimana nak mengagihkan pampers dan susu bayi supaya tidak timbul rasa tidak puas hati.

Sekali lagi ucapan itu diulangi.. hanya sekadar ingin memaklumi.. tapi  jelas ternyata.. berdirinya kami di situ bagai tidak disedari. Lama-lama kami mengundur diri.. tanpa sesiapa melambai atau menyatakan.. ‘jumpa lagi’. Hanya diiringi senyuman sendiri.. kami melangkah pergi.. hihihi... 

Bila difikir-fikirkan..jika diri ini salah seorang mangsa kebakaran yang aktif memberi cadangan.. agaknya tindakan itu jua dilakukan.. apa yang nak dipelikkan ? tindakan spontan :) 

Tuesday, July 12, 2011

9 JULAI ITU..

9 JULAI.. Bila Bersih berarak dan bila polis bertindak. Kita plak yang stuck. Tak tau bagaimana nak bergerak. Setiap arah ada sekatan. Hanya bergerak ikut arah yang polis tunjukkan, sampai di hujung jalan.. ada yang hilang panduan. Mencari alternatif sendiri..akhirnya bertemu polis lagi.. dan lagi..dan lagi.. dan lagi..haiii…

Apa-apa pun Alhamdulillah..meski pelbagai halangan 14 sukarelawan sampai ke opis dengan jayanya. Di SALAM  alang memang mengenali  insan-insan yang penuh komited dan dedikasi. Dan 9 Julai itu.. Alang cukup insaf.. sesungguhnya insan-insan itu.. bukan sahaja  komited dan dedikasi tetapi ikhlas dan berjiwa suci. Segala sekatan dan cabaran tekad diredahi. Demi merealisasi misi dan visi. Demi membantu sasaran yang memerlukan. Tanpa mengira bangsa dan anutan. Tak tahu apa bentuk balasan.. Hanya Allah jualah yang berhak membalasi.. kerana hanya Dia jua yang  Maha Mengerti..

Akhirnya menjelang jam 2.00pagi, Modul Peningkatan Penguasaan Bahasa Malaysia khusus untuk SKT Tamil Rawang berjaya disiapkan.  Jam 7.00 pagi..kami bergerak dari SALAM ke SKT Rawang..

Masuk sahaja ke dewan.. berterusan kami diraikan dengan tepukan. Rasa seronok dengan sambutan. Bersemangat bila diberi penghargaan.  Wajah-wajah peserta diperhatikan satu persatu..ceria sungguh mereka. Tapi dalam hati ini.. terlintas rasa ‘awas’ kerana memang sedia dimaklumi pelajar yang menyertai program ini adalah pelajar yang amat lemah penguasaannya dalam  Bahasa Malaysia sehingga cikgu-cikgu sudah habis cara lalu menjemput kami  yang tak tentu taranya.

“aka..kenapa buat satu hari saja ?” seorang kanak-kanak perempuan bertanya tika alang bersalam dengannya . “mmm..” nak jawab apa nih.. alang tercari-cari jawapan yang sesuai. “aka.. lepas ni buat 3 hari ya..” kata kanak-kanak itu tersenyum dan terus berlari mendapatkan rakan-rakannya. Tersenyum alang dibuatnya . Tiba-tiba telinga menangkap nama alang dipanggil “Cik zakiah..” Alang terus berpaling. Cikgu Siva, Guru Bahasa Malaysia SKT itu. “Ya.. Cikgu”. “ada masa tak dalam bulan 9 ? kita buat sekali lagi ?” Cikgu berharap. Alang serba salah. Cuba  berkira-kira dan mengingat-ngingat. Confirm tiada yang kosong. “sori cikgu.. jadual kami dah penuh..” kasihan tengok cikgu yang penuh semangat itu.”err..tapi tahun depan maybe..sebab jadual masih kosong” Alang  cuba memenuhi permintaan. “ok..kita buat Januari ya..saya booking Januari ! Ingat ya ! pantas Cikgu Siva membalas sambil erat bersalam.  Bersungguh-sungguh dia mengingatkan. Bersungguh-sungguh dia mengharapkan. 

…………………….

Sahabat-sahabat.. meski pengorbanan kalian tiada balasan. Senyuman di wajah kanak-kanak itu cukup menggambarkan usaha kalian telah mengisi kekosongan. Meski tiada ganjaran dijanjikan.. genggaman erat dan harapan yang menggunung Cikgu Siva..jelas menggambarkan sumbangan kalian amat didambakan.  Tahniah ! kerana dalam banyak-banyak insan.. kalian yang telah dipilih tuhan..Untuk terus terusan melakukan kebaikan..  :)

Friday, July 8, 2011

KITA YANG SAMA

Dah lama alang tak jenguk blog ni.. maknanya dah lama jugak alang tak meng'update'nya. 
BINGKAS Utan Aji Perlis.. BINGKAS Telok Malek Jitra..BINGKAS Seri Pinang Sungai Petani.. BINGKAS Padang Chichar Sik ..berlalu begitu sahaja. Mmmm.. sebenarnya banyak cerita tentang itu semua.. terlalu banyak sehingga ada yang sudah terlupa. Di Utan Aji..Isu PAKSI KEJAHATAN yang mampu menggelodak jiwa dan otak fasilitator. Di Telok Malek..Isu budak-budak yang sangat bersedia tetapi terdapat virus yang menyerang jiwa dan raga mereka pula  . Di Seri Pinang.. cerita tentang kibaran bendera perang antara fasilitator dan pihak pengurusan kem. Akhir sekali di Padang Chichar..selain kisah makan durian yang banyak di kampung mas..huhuhuhu.. (terima kasih mas J ) ada cerita tentang budak  terlompat-lompat memegang perut bila mendengar kata-kata perangsang dari kakak fasilitator. Bila ditanya mengapa? Ikhlas dia menjawab.. Lapar..pukul berapa boleh berenti kak ? ha ha ha..
Budak-budak.. budak-budak yang suci wajahnya walau kelihatan comot peragaannya. Budak-budak yang ikhlas hatinya walaupun ikhlas juga nakalnya. Budak-budak yang manis senyumannya walaupun  ada yang terselit wajah masam mencuka. Comel..
Apa-apa pun gaya mereka..kita tetap sama. Bawa misi yang sama. Bawa visi yang sama. Gaya yang sama. method yang sama. Akhirnya mencapai kepuasan yang sama atau hampir-hampir sama.. atau tiada kepuasan pun tetapi tetap membawa pulang  pengalaman yang sama. Kita semua seperti diatur..disusun.. diletak baik-baik di sebatang jalan. Kita ditakdirkan untuk  melalui jalan itu bersama-sama.. kita tidak menjangka akan melaluinya bersama-sama.. kita juga tidak pernah terfikir pun.. hidupnya kita ini..sama-sama berada dalam pengalaman yang sama. Dalam dunia yang tersangat luas ini..kita berada di sudut bumi dan langit yang sama. Dalam pelbagai jenis ragam manusia..kita bagai mempunyai getar rasa yang sama.Tak terfikirkan ? Tetapi itulah yang telah diaturkan Tuhan.. kita bersama menjalani sisi kehidupan yang sama. Semangat memulakan langkah.. tetapi dalam semangat kita tersengat. Sepenuh jiwa dalam memulakan komitmen tetapi separuh nyawa untuk menghabiskannya.. Sepakat itulah penguat.. tetapi jika ada yang buat-buat penat.. hati bagai disiat-siat.  betulkan ? Itulah kita.. itulah kita..itulah kita yang sama..
Sahabat-sahabat..itulah yang kita tahu sekarang..itulah yang kita rasa dalam perjalanan kita sekarang. Tetapi tahukah kita yang seterusnya ? Bila perjalanan ini akan tamat ? bila jalan ini terhenti kerana jalannya telah mati ? kita tak tahu. Bila salah seorang dari kita akan bertukar haluan perjalanan. Kita tidak tahu. Bila salah seorang daripada kita mengangkat ‘bendera putih’ menandakan dia terpaksa berhenti dari meneruskan perjalanan ? kita tidak tahu. Adakah kita ? Adakah siapa ? Jika kita ditakdirkan meneruskan perjalanan.. dengan siapakah kita akan bergandingan ? Jika kita pula ditakdirkan untuk berhenti di pertengahan jalan.. selepas siapa diri kita ditakdirkan untuk menamatkan semangat dan komitmen ini ? kita tidak tahu.. memang kita tidak tahu.. kerana hanya yang tahu adalah Yang Maha Tahu.
Kita terlalu lemah untuk tahu semuanya..kita tidak cukup kuat untuk mengetahui kebenarannya.. Oleh itu sahabat-sahabat.. dalam perjalanan yang tidak tentu panjang atau pendeknya ini.. dalam naifnya kita.. dalam lemahnya kita.. dalam serba tidak tahunya kita ini.. kita yang sama ini masih diberi upaya untuk mengetahui.. memahami dan merasai..kata-kata Sayidina Ali Abi Talib iaitu  ‘Beramallah kamu di tempat yang hanya ada amalan tetapi tiada ganjaran sebelum kamu berpindah di tempat yang hanya ada ganjaran tetapi tiada amalan’..

terima kasih untuk segalanya.. J

Thursday, June 9, 2011

CERITA MAK..

"Mak dah tua sangat dah.." kata mak masa alang pulang ke kampung minggu lepas . Alang pandang muka mak. Umur mak dah 66 tahun..banyak kedutan di wajah mak.. tapi mak tak pernah cakap cam ni.  "nape mak ? " risau.. mak rasa tak sihat ke.. ? getus alang dalam hati "petang tadi..masa nak start Baca Yassin kat rumah Cik Limah..puas laa mak bukak bekas cermin mata mak.. tak boleh boleh !" alang tadah telinga.. kenapa ? jemari mak tak kuat lagi ke ? tangan mak cramp ? "tiba-tiba kawan-kawan mak ketawakan mak.." eh ! kenapa ? kenapa kawan-kawan akrab mak ketawakan mak. tak kesian ke kat mak ? betullah orang kata..kawan menangis susah dicari...kesian mak. Sedih alang tengok mak. Tiba-tiba mak ketawa. Eh ! kenapa plak ni ? lagi risau alang dibuatnya. Alang nak ketawa ke tak nak nih ? Mula-mula cam sedih. Tapi ape lak cerita sekarang ? Biar betul mak alang nih. Mak ketawa dalam sedih ke ? atau mak tak nak alang susah ati ? mak terus ketawa. "eh ! mak kenape ?" Alang tanye..harap2 mak ok.  "mak bukan bawa cermin mata..mak bawa remote astro" ha ha ha ha..Alang plak tak berenti ketawa. padan la kawan-kawan mak ketawakan mak.  "habis masa mak try bukak tu..mak tak tengok ke ?" alang tanya dalam tawa "Mak pandang quran..bekas cermin tu..sama besar dengan remote.." mak terus sambung ketawanya.. hehehehe.. kalau alang jadi kawan mak pun..alang akan ketawakan mak walaupun akrab..siap guling-guling lagi..hahahaha.. mak..mak.. :) 

Tuesday, May 31, 2011

MEMANG TAK SANGKA...

Memang Tak Sangka.. apabila mendapat berita tentang tragedi tanah runtuh di Batu 14. Ditakdirkan dengan runtuhnya tanah itu..terkorbanlah 16 nyawa, 14 kanak-kanak 2 dewasa. Alahai..tiada apa lagi yang boleh diulas. Tiada apa lagi yang perlu dikata. Alhamdulillah rakan-rakan sukarelawan yang tika itu berada di Sungai Congkak bergegas ke sana. Buat apa sahaja yang terdaya. Sediakan makanan kepada pasukan penyelamat yang berusaha. Sampaikan maklumat kepada rakan-rakan dari semasa ke semasa.

Setelah mendapat maklumat keperluan bahan-bahan mentah dari lokasi bencana. Alang dan Yus bergegas ke sebuah mini market di Jalan Gasing.  Pekerja-pekerja mini market itu tertanya-tanya mengapa kami membeli barangan dalam jumlah yang banyak. Apalagi kami terus ambil peluang bercerita tentang misi bantuan untuk mangsa-mangsa tanah runtuh yang mengorbankan nyawa anak-anak yatim dan miskin di Hulu Langat itu. kami juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan diskaun, mereka mengangguk-ngangguk tanda ‘tiada masalah’. Apabila berada di depan kaunter untuk melunaskan bayaran, terpapar di skrin casher keseluruhan kos adalah RM278.55 dan jumlah yang perlu dibayar adalah.. RM275.00. “laa.. diskaun RM3 je  ? ” Yus bertanya. “diskaun juga.. bukan RM3.00 saja tapi RM3.55” Casher itu menjawab bangga. Alang memandang Yus..Yus mencebik tak puas hati. mmmm.. Memang Tak Sangka mini market sebesar itu, yang jelas tertulis ‘mini market keluarga’ tidak tahu di mana letak ciri-ciri kekeluargaannya.  Jauh sekali rasa berkeluarga dengan mangsa-mangsa yang sedang menderita.. Agaknya jika dibawa reporter untuk membuat liputan berkaitan keprihatinan, baharulah nilai-nilai kekeluargaan itu ditonjol-tonjolkan. :p

Cerita bab reporter ni..mmm.. satu lagi yang Memang Tak Disangka. Di lokasi bencana..tugasan utama sukarelawan adalah memasak dan menyediakan makanan panas untuk tenaga-tenaga penyelamat seperti Bomba, JPAM dan Tentera . Tetapi lumrah sukarelawan SALAM memang tidak boleh duduk diam, apabila tugasan utama dilangsaikan. Kami bergerak ke lokasi tumpuan, melihat botol-botol mineral bertaburan, tin-tin minuman berselerakan dan kotak-kotak berlonggokan, sukarelawan dah tak senang duduk. Itu semua boleh di’recycle’kan !. Apa lagi para sukarelawan terus mengutip, mengumpul dan membawa apa sahaja yang boleh dikitar semula keluar dari lokasi tumpuan. Sedang orang ramai terpusu-pusu melihat  apa yang berlaku, sukarelawan ‘terpusu-pusu’ mencari sesuatu. Sedang orang ramai  bercerita dan mengulas tentang kejadian yang menyayat hati itu. Sukarelawan pula bercerita tentang aktiviti-aktiviti sukarela yang lain yang boleh dijalankan hasil jualan barangan buangan itu. Sedang orang ramai yang sibuk keluar dan masuk itu memandang sebelah mata tentang aktiviti kitar semula ini. Sukarelawan pula membuka kedua-dua belah mata untuk mengumpul seberapa banyak barangan yang boleh dikitarkan. Tup. Tup. 2 orang reporter berbangsa Cina dari The Star merapati kami, bertanya tentang itu dan ini..tentang SALAM, tentang aktiviti sukarela, tentang kitar semula sehinggalah kaitannya dengan tanah runtuh ini akibat kurang kesedaran manusia tentang alam sekitar dan penjagaannya. Kami meneruskan aktiviti mengutip, mengumpul dan memenyekkan tin. Kami melepasi sekumpulan reporter dan cameraman Melayu yang sedang membelek-belek camera.Tiba-tiba terdengar suara dari kumpulan itu... “buat apa laa nak buat liputan bab-bab kutip sampah ni.. dah boss suruh fokus tanah runtuh.. buat tanah runtuh je la !”  hai…Memang Tak Sangka..ayat itu keluar dari mulut reporter Melayu..harap mereka janganlah menganggap kami inginkan liputan. Dahagakan ke’glamour’an. Kami hanya bertindak atas dasar ingin bertindak. Bertindak sebab tahu, ia perlu diambil tahu dan bukan buat-buat tak tahu atau datang dengan gaya serba tahu !. kami bukan mahukan pujian memuncak atau gambar terpapar di akhbar. Selama ini pun kerja-kerja sukarela terus terlaksana  tanpa ada reporter yang berkejar sama. :p :p

Terngiang-ngiang di telinga Alang, kata-kata Tok Mat ( Datuk Ahmad Talib, Executive Director News and Editorial of the Media Prima )..dia kata.. "kalau anjing menggigit budak.. Itu berita biasa.Semua orang nak cerita. Bila semua nak cerita..Bila semua buat perkara yang sama..itu dah tak ada nilai berita. Tapi yang ada nilai berita adalah..bila budak menggigit anjing. Ia nampak terpencil. Jarang-jarang. Tapi itulah berita! Itu yang kita cari !”

Agaknya..isu penjagaan alam ketika alam memerlukan penjagaan..tidak setaraf isu budak menggigit anjing.. ketika banyak anjing menggigit budak.. :p :p :p

Thursday, May 19, 2011

BINGKAS LAH PULAU KUNDOR !

Tibalah sesi memperkenalkan diri fasilitator.  Amir, Aznam, Farhan, Zul, K.long, K.ngah, Yus, Mas, Lia, Yani, Ain dan Erme berbaris.. tersenyum mesra.  Lagi lebar senyuman ex-fasi tahun 2010 dan 2009 bila nama mereka diingati tanpa perlu memperkenalkan diri. Seorang demi seorang memperkenalkan diri. Alang memandang saja sambil memerhati gelagat kanak-kanak mengingati nama-nama fasilitator. Mereka tidak boleh mencatat. Mereka hanya perlu mengingat. Jika gagal, markah kumpulan jadi taruhan. Sengsarakan ? heee.. Tiba-tiba terdengar tawa pecah di satu kelompok peserta. Alang terus berpaling kepada barisan fasilitator “siapa fasi yang buat lawak ?” terpandang fasi yang sedang memegang mic. Pelik ! tiada riak lawak di wajahnya. Yang ada hanya riak tegang. Tapi kenapa peserta ketawa ?. “kenapa ketawa ?” soalan yang sama  terlontar dari mulut fasilitator itu. Kelompok peserta itu senyap membatu, tunduk membisu. Aik ? baru tadi ketawa dah macam tak bernyawa ?. “Kenapa ketawa ? akak tak suka ya..adik-adik ketawakan nama orang” fasilitator itu memberi amaran. Merah mukanya. “Siapa yang ketawa..bangun !” Arah fasilitator tersebut. Kelompok peserta tidak menganjak dari ruang duduk mereka.  Alang dah tak boleh duduk diam. Dah panas ! mereka ketawakan nama fasilitator. Tiada sifat hormat kepada orang yang tekad berhemat. Tiada rasa menghargai orang yang ingin menabur budi. Jika bukan fasi pun.. nama sesiapa sahaja tidak boleh diketawakan. Tidak boleh sama sekali.Lebih-lebih lagi orang yang lebih tua. Ini maruah ! ini harga diri ! Alang terus bangun dan menuju ke kelompok peserta tersebut. Semua tunduk memandang meja. “Siapa yang ketawa tadi ?” Alang bersuara mendatar. Semua senyap. “Siapa yang ketawa tadi ?” Alang keraskan suara. Juga tiada reaksi. “ Bangun ! Siapa yang ketawa tadi ?” Alang terasa suara Alang bagi halilintar membelah bumi. Sembilan orang peserta bangun hampir serentak. “kenapa ketawakan kakak tadi ?” Alang bertanya seorang demi seorang. Semuanya mengunci mulut. Semuanya mengangkat bahu. Semuanya tak tahu kenapa mereka ketawa ! semua tak tahu apa penyebabnya ! Mustahil ! “keluar ! berbaris di situ !” Mereka diarah keluar dari kantin sekolah. Berbaris lurus menghadap ke ruang peserta berkumpul.  Mereka didenda berdiri separuh. Tiada jawapan diperolehi.. pelik ! pelik ! Sesi pertama di hari pertama yang memanaskan jiwa ! 

………………………………….

“ Alang.. Alang !” terdengar nama  dipanggil. Memang Alang mengecam suara itu.. suara fasilitator yang namanya diketawakan semalam. “Saya dah tahu kenapa diaorang ketawakan nama saya ” Fasilitator itu  tersenyum. “nape ?” Alang teruja ingin tahu. Apa sebabnya. Apa masalahnya sehingga ‘sebab itu’ tidak mahu digemburkan. “camni..budak kumpulan saya baru bagitau tadi. Nama saya sebenarnya sama dengan  nama sorang budak kampung ni. Budak tu hidu gam. Entah macam mana satu hari tu..budak tu hidu punya hidu..tiba-tiba gam terlekat kat mulut dia.. terus tak leh bukak mulut”. Ha ha ha ha ha “pasal tu laa.. diaorang tergelak..diaorang teringat budak tu”. 

Alang tak boleh menahan ketawa. Terbayang ‘style’ budak yang ketagih gam. Mereka memasukkan gam gajah atau gam kasut dalam plastik. Setiap kali mereka ingin menghidu.. mereka akan membuka sedikit mulut plastik, meletakkan hidung , menghidunya dan terus menikmatinya. Mungkin budak itu tersilap langkah..terlalu gelojoh kerana terlalu ketagih. Lalu mulut plastik dibuka seluas-luasnya. Bukan sahaja hidung  malah mulut juga memainkan peranan yang sama. Hidu punya hidu..Akhirnya.. gam kasut yang tujuannya untuk melekatkan kulit kasut..akhirnya.. melekatkan kulit bibir .. ha ha ha ha..

Adik..adik.. kalaulah sebab ini dimaklumkan. Sudah pasti korang tidak menjalani hukuman. Dalam ketawa..Alang menggeleng kepala.