Monday, April 18, 2011

EPISOD JELUTONG

Maka tamatlah episod BINGKAS Jelutong Pulau Pinang. Umpama telemovie gayanya. Ada suka ada duka. Ada manis ada kelat. Ada sedih ada bahagia. Ada marah ada gembira. Agak berbeza sedikit pengalaman di sini. Bukan berbeza tetapi tambahan pengalaman sebenarnya. Ketika ‘ia’ terjadi .. terasa gempita di jiwa. Tetapi apabila melepasi episod itu.. terasa seperti  ada sesuatu yang telah dipelajari... 

Jam 9.30pagi tadi..Alang dah dapat panggilan dari Cikgu Salina Kaunselor Jelutong “terima kasih Cik Zakiah.. budak-budak semua suka..diaorang bersemangat datang sekolah hari ni”.  Terus hati ini rasa berbunga..rasanya perasaan berbunga itu turut boleh dirasai oleh sesiapa sahaja yang menjayakannya..jika mendengarnya..  Bila perbualan ditamatkan.. tiba-tiba .. OucH ! bunga itu..bunga berduri rupanya..tergores ! terhiris ! tertikam ! Aduuuhhhh...

Tika hati ini berdarah akibat goresan, hirisan dan tikaman itu.. Alang terbaca kisah Nabi Sulaiman bin Daud as. Suatu hari baginda berkata kepada manusia dan jin.. “Keluarlah !”. Maka keluarlah dua ratus ribu manusia dan dua ratus ribu jin. Lalu baginda naik ke atas sehingga mendengar gemuruh tasbih dari malaikat di langit. Kemudian baginda turun hingga kakinya menyentuh lautan. Tika itu baginda mendengar satu suara ‘Jika di hati teman mu ada kesombongan walau sebesar zarah.. akan Ku lempar lebih jauh dari apa yang Ku angkat dia’ 

Bila cerita ini Alang terbaca.. Alang rasa semacam.. mula-mula terfikir tentang ‘episod jelutong’. Tetapi di hujung fikir itu.. takut pula bersarang di hati.. janganlah sesekali aku sombong..janganlah sesekali aku riak dan bongkak.. Ya Allah.. segala-galanya adalah milik Mu.. Ampun Ya Allah..

Allah SAW yang Maha Kaya dan Dialah Yang Memiliki Segala-galanya turut mempersendakan orang-orang yang sombong. FirmanNya dalam Surah Al-Isra’ ayat 37 ‘ Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai ketinggian gunung-ganang ’.

Sahabat.. tak ke mana pun kita kalau kita sombong kan ? kita nak ke mana ? kaki tetap memijak bumi walau setinggi mana kita terbang di langit. Langit tetap memayungi walau jauh kita pergi. Siang dan malam tetap bersilih ganti tanpa kita mentadbirnya. Udara tetap kita dambakan walau kadangkala kita menahannya.  Jantung akan terus mengepam tanpa boleh kita mengawalnya. Darah akan terus mengalir tanpa kita menyedarinya.

Apalah yang mahu kita sombongkan..tak hebat mana pun kita..yang hebat adalah Allah. Tak bagus mana pun kita.. yang bagus adalah Allah. Tak bijak mana pun kita..Yang bijak itu adalah Allah. Tak lebih mana pun kita.. yang lebih itu adalah milik Allah. Tak berkuasa mana pun kita..yang berkuasa itu adalah Allah.

Bayangkan sahabat.. jika segala yang kita sombongkan..rasa hebat..rasa bagus.. rasa bijak.. rasa lebih.. rasa ada kuasa..ditarik oleh Allah ? Tanpa surat pemberitahuan.. tanpa waran.. tanpa siren?  Apa lagi yang kita ada ? Apa lagi yang boleh kita sombongkan ?.. tiada apa-apa sahabat.. tiada apa-apa yang tinggal..hanya tubuh yang tiada makna..itu pun pemberian Allah. Jadi apa yang tinggal pada kita ? tika itu barulah kita tahu.. betapa kecilnya kita berbanding ciptaan-ciptaan Nya di muka bumi. Betapa kecilnya kita berbanding kelebihan-kelebihan yang Allah anugerahkan kepada manusia-manusia yang lain. Betapa sungguh kecil sekecil kecilnya  kita berbanding dunia yang besar sebesar besarnya dan langit yang luas seluas luasnya. Kita tiada apa sahabat..jika Allah tidak menganugerahkannya. Kita tiada makna di muka bumi ini sahabat.. jika Allah tidak izinkan hidup kita bermakna. Kita tiada di bumi ini sahabat..jika Allah menetapkan inilah hari, inilah tempatnya, inilah masanya..kita akan dicabut nyawa. 

Astaghrafirullahala'zimm.. Astaghrafirullahala'zimm.. Astaghrafirullahala'zimm..Semoga Allah mengampuni segala ketelanjuran kita sahabat..

‘ Wahai orang yang sombong keterlaluan.. kita adalah  selonggok tanah.. kehidupan ini hanyalah permainan.. setiap langkah menuju kematian..’ Syair Zun Nun Al Misri

No comments:

Post a Comment