Sunday, October 16, 2011

MAN = MEAL ?

Pernah berjumpa seorang rakan lama dan dia bertanya “macammana kau nilai orang ?”. “mmm.. susah nilai orang” Alang jawab. Rasa-rasa itu jawapan paling selamat. “memang susah.. tapi macammana kau nilai ?” soalan berulang. “susah nilai.. sebab tindakan menilai ni akhirnya kita nak keputusankan ?” jawapan bersambung dengan soalan. Dia mengangguk. “memang laa.. dah tu..?” jawapan mengia itu juga beserta soalan. “dapatkan keputusan tu yang susah.. nilai orang ni perlu masa lama. Kadangkala kita rasa orang tu tak bagus.. lama-lama kita baru sedar dia bagus malah lebih bagus dari kita. Kadangkala kita rasa orang tu amat bagus.. tapi akhirnya.. macam ada yang tak kena.. kadangkala rasa sangat serasi..tapi akhirnya rasa tak selesa.. kadangkala  rasa canggung  tetapi bila lama berkawan kita rasa berbaloi.. ” .  jawapan alang subjektif. Tapi hakikatnya memang manusia itu subjektif. “ jadi macammana nak nilai orang dalam tempoh sekejap?”. Dia tanya lagi. “kau guna bomoh ! hahahaha”. Alang berseloroh. Dia ketawa kecil.. amat kecil. Senyum pun macam tak ikhlas.  Sungguh bodoh agaknya lawak itu..huhuhuhu

 “Bagi kau plak macammana nak kenal orang dalam tempoh sekejap?“. Alang lontarkan soalannya kembali.  Dia pandang alang. Dahinya berkerut. “aku confuse..” lama dia berdiam. Alang suap mee goreng basah perlahan-lahan. Memberi laluan untuknya menyambung jawapan. “haiii…entahlah !” Dia mengeluh dan  terus menghirup teh tariknya.. bagai menghilangkan sekatan di kerongkong.  Alang pandang dia. Alang pandang dalam-dalam. Memang ada rahsia yang amat rahsia. Bagai tersimpan lama. “kita ni.. tak sempurna.. menilai makhluk yang juga tak sempurna.. dah tentulah kebarangkalian memperoleh jawapan yang sempurna itu amat..amat.. amat tipis” Sengaja perkataan 'amat' itu diulang 3 kali. “maksudnya.. memang kita tak boleh kenal orang la !” Dia memutuskannya begitu. 

“Kau minum apa ?” Alang tanya dia. “Teh Tarik Kaw !” Dia jawab spontan.  “Kau suka ?” Alang tanya lagi. “my favorite maa..”. Dia menjawab malas. “Kandungan gula yang tinggi !”. Alang bersuara. Dia senyum tawar. “ macam tu laa..dalam mengenali orang..dalam berkawan..”. Alang berhenti seketika. Dia mengangkat kening. “Apa yang penting kita suka dan menepati cita rasa.. keburukan tentu ada tapi boleh pandang sebelah mata.. boleh terima dengan hati terbuka”.  Spontan dia ketawa. “Kau tu makan mee goreng..” Dia mencebik bibir. Alang pulak yang ketawa, terkena batang hidung sendiri..heee. “Aku gula je.. mee kau tu ? asid borik..sodium karbonat..sodium benzoate.. mmmm… lagi..lagi.. entah aku lupa..eh ! lagi mudarat tau !” kami ketawa sama. Tapi hidung alang terasa pijarnya..
  
“Aku dah jumpa jawapan !” Dia bersuara dalam sisa tawanya. “macam makanan ni..kita tahu ia ada keburukan. Tapi kita makan..kita minum jugak. Sebabnya kita suka, jadi kita boleh terima. Tapi bila kita sedar, ia ada keburukan, kita kena hadkan pengambilan. Tapi kalau keburukan itu dah memudaratkan. Lebih baik kita berhenti dan tukar kepada makanan yang lebih sihat". Kiasannya tepat !. “Segala-galanya kena sederhana.. nak berkawan kena sederhana.. nak sayang kena sederhana.. nak percaya kena sederhana.. nak menghargai jangan keterlaluan.. kena hati-hati dalam tindakan. Kalau keterlaluan.. sama ada kita dikecewakan atau kita pulak yang bosan..”. Dia mengangguk-nganguk. “mmm.. kesimpulannya memang susah nak nilai orang. Setiap orang ada kebaikan, setiap orang ada keburukan.Diri kita pun macam tu juga. Jalan paling selamat..dari awal lagi kena terima seadanya..kena bertindak dengan sederhana..harap orang lain pun tengok kita dalam pakej yang sama..”. Dia membuat ulasan.  Alang tersenyum tetapi bukan pada jawapannya tapi pada mee goreng basah alang yang tinggal separuh pinggan. Dalam hati terdetik..nak habiskan atau nak dilihat keterlaluan ? aduuuiiiii… :p

Wednesday, September 21, 2011

JAUHNYA PERJALANAN...

Bidalan orang  tua.. jauh perjalanan luas pemandangan maka banyaklah pengalaman. Itu betul jika kita menjadikan perjalanan yang jauh itu dan pemandangan yang luas itu sebagai mekanisme untuk menambah pengalaman.  Bukan setakat melihat ciptaanNya di alam yang luas ini.. tetapi roh penciptaan itu sendiri. Bukan setakat berjalan merentasi denai, jalan, hutan, sungai, laut dan awan-gemawan tetapi roh perjalanan dan penyaksian itu sendiri.  Bukan setakat merasa segar menghirup kedinginan pagi tetapi menjiwai  roh ketenangan yang menjadi kembarnya. Justeru bukan setakat pengalaman diperoleh tetapi kesedaran sebagai entiti yang sangat kecil jika dibandingkan dengan alam yang luas ini. Kesedaran sebagai entiti yang tidak memiliki apa-apa jika tidak diizinkan untuk memilikinya.  Kesedaran sebagai entiti yang hidup sehingga kehidupan itu dinoktahkan. Kesedaran sebagai entiti yang berdaya atas kemampuan yang dianugerahkan dan lemah atas kekurangan yang ditakdirkan. 

Semoga akal yang ada ini masih mampu berfikir dan menimbang.. semoga hati yang ada ini masih mampu mendetakkan rasa insaf dan syukur.. semoga mata yang ada ini masih mampu melihat ikhtibar di sebalik kejadian..semoga telinga yang terpasang ini masih cenderung merisik kebaikan..semoga  jasad yang dipinjamkan ini masih mampu menjadi entiti yang punya rasa ingin memberi untuk menjadikan hidup ini lebih bermakna.. 

Allah SWT berfirman dalam wahyunya yang bermaksud “ maka tidak pernahkah mereka berjalan di muka bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang ada di rongga dada” ( Al-Hajj :46 ) 

Semoga hati kita baik terpelihara..Insyaallah

Sunday, September 4, 2011

MYCorps DI KUALA TRENGGANU..

Menghadapi calon-calon MyCorps Trengganu. Macam-macam juga.. Antara belasan calon, terdapat seorang calon lelaki berbaju merah berbunga-bunga putih. Gaya santai di pantai..hahaha..Ganu Kite.. Bila ditanya apa kemahiran yang dia miliki ? “ Saya pandai memasak. Saya boleh buat kuih. Mak saya yang ajar. Kuih sekaya dengan akok saya memang sedap. Orang sampai datang rumah nak tempah” Bangga dia menceritakan kemahirannya itu. Apabila ditanya lagi..apa kemahiran lain yang dia miliki ? “oohh..saya mempunyai daya tarikan” kami serentak mengangkat kening. Daya tarikan ?. “Kuih-kuih mak saya di bazar mesti habis..sampai tak cukup. Bukan sebab sedap saje..tapi saya lah daya tarikannya.. sayalah satu-satunya lelaki yang pakai apron ! “. Hahahaha.. sungguh yakin dan bersemangat !. 

Calon yang seterusnya masuk.  Seperti meyakinkan. Kemas dan tersenyum. Ditanya..apa itu MyCorps ? “MYCorps adalah satu program yang berkaitan dengan jenayah. Kita akan menjadi mata-mata polis. Sebarang kejadian jenayah kita laporkan secepat mungkin..” hahahaha.. pecah ketawa dalam bilik temuduga itu. Haiii..gaya dah ada. Senyuman menawan. Berjalan penuh keyakinan. Tapi  makna MyCorps dan Rakan Corp bercampur dalam fikiran heeee..

Tepat jam 1.00 petang sesi temuduga calon-calon Trengganu tamat.  Mmm ade mase nak p Pasar Payang ni..huhuhu. Tengah window2 shopping tiba-tiba dapat panggilan dari Jabatan Belia, ade sorang peserta lagi tengah tunggu. Adoooiiii.. jam dah pukul 2.30 petang. Anti klimaks tul calon ni !.  Timbang punya timbang.. kami putuskan untuk menemuduga calon tersebut. “kak lang tau.. soalan yang saya nak tanya.. Ape hebatnya kamu hingga orang lain boleh datang pagi.. kamu pulak datang petang” Tini merangka-rangka soalan. Alang pun nak tunggu ape jawapannya. 

Kami menunggu dalam Bilik Temuduga. Pintu diketuk. “Masuk” Tini bersuara. Calon itu berbaju batik. Bersongkok kemas.Surat Panggilan Temuduga dihulur. Ops ! masa..2.30ptg. Soalan Tini tidak terutara. “ Bagi saya aktiviti sukarela ini adalah tanggungjawab saya kepada Allah dan agama. Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain, itu pesan Rasulullah SAW. Itu yang menjadi motivasi dalam diri saya. Alhamdulillah sejak tiga tahun saya terlibat dalam membantu golongan penagih dadah.. Allah telah memudahkan urusan saya dalam membantu abang saya keluar dari belenggu dadah” Katanya perlahan tetapi cukup jelas. Itu antara jawapan yang diberi.Segala-galanya adalah agama. Minatnya bermula dari agama. Motivasinya berpunca dari agama.Gerak dan perancangannya juga berdasarkan agama.Persis berhadapan dengan Calon Imam Muda gayanya.. :)


Melihat calon ini, alang mengakui..jika kita bersukarela sebab memang kita minat dengan kerja-kerja komuniti, ia takkan kekal, kerana minat akan turun dan naik. Jika kita bersukarela sebab kawan-kawan, bila kawan hilang, kita akan melayang. Jika kita bersukarela sebab mengisi masa lapang, bila komitmen kita bertambah,kerja ini sudah tidak terarah. Tetapi jika kita lakukan sebab Allah menyukainya dan agama menuntutnya, kita akan merasakan ia satu tanggungjawab sebagai Hamba Allah yang sepatutnya insaf dan bersyukur dan sebagai khalifah yang sepatutnya bermanfaat.
 
Alang baru terbaca sebuah hadis Rasululullah SAW “Lepaskanlah diri kamu dari keserakahan dunia sedaya upaya kamu, kerana sesiapa yang menjadikan dunia sebagai tujuan hidupnya, Allah akan mencerai beraikan miliknya yang telah terkumpul dan menjadikan kemiskinan di dalam pandangannya. Sesiapa menjadikan akhirat tujuan dan cita-citanya, Allah akan menghimpunkan miliknya yang bercerai berai, lalu dijadikan kekayaan dalam hatinya dan dimudahkan untuknya memperoleh segala kebaikan” Diriwayatkan oleh Thabrani, Mu’jam AlKabir

MYCorps DI KUANTAN..

Wow ! Bulan Puasa ke ? soalan itu ditujukan kepada Tini, orang kuat Unit Pembangunan Sukarelawan KBS. “ dah tak ada masa kak lang, boleh la ye..” Tini seperti memberi kata putus dalam lentok bahasa yang lembut. ”Insyaallah.. boleh..” Alang cuba bertolak ansur tetapi memang teruja untuk menjayakan Siri Temuduga MYCorps. Bergerak dari Petaling Jaya, Selangor ke Kuantan Pahang, seterusnya ke Kuala Trengganu kemudian ke Kota Baharu Kelantan dan akhir sekali ke Ipoh Perak. Dalam tempoh 8 hari. Memandu sendiri. Dalam Bulan Ramadhan !.  Alang tersenyum.. mmm.. tak pernah rasa lagi pengalaman macam ni. Boleh ke ? cuba dulu.. tak daya kita buke.. alang cakap pada su. Su akan jadi co-pilot.. kami akan bergilir-gilir, Alang memandu..dia tidur. Dia tidur..Alang memandu hahahaha. 

Cerita di Kuantan..bukan calon sahaja yang terduga. Si penemu duga pun terpaksa menempuh dugaan. Rasa macam nak ketawa campur rasa nak menangis teresak-esak. Huhuhu.. Alang tak ingat calon ni.. calon yang ke berapa. Dia masuk aje..wah ! struktur fizikalnya lagi tinggi dan lagi besar dari kami berdua. “Boleh saya duduk” dia memulakan bicara. Kami mengangguk. “Siapa nama saudari berdua ?” Aik ? ini sape yang temuduga sape ?.  Calon ini gayanya hebat. Jaringan kerjanya juga kedengaran hebat. Kenal orang besar itu dan orang besar ini. Buat kerja itu dan buat kerja ini. Tahu konsep itu dan tahu pendekatan ini. Soalan ditanya satu.. jawapan diberi seribu. Soalan ditanya dua jawapan diberi sejuta. Akhir sekali, dia beri pendapat. “kalau saya jadi saudari berdua.. saya tak akan pilih budak-budak kat luar tu.. merapu !” Dia merujuk kepada calon-calon lain yang sedang menunggu di luar. ‘Hebat’kan calon ni ? heeee… 

Masuk pulak calon seterusnya. Cuak-cuak. Malu-malu. Alang tersenyum. Inilah gaya calon temuduga !. “saya adalah orang asli.. saya yakin dengan ilmu yang saya dapat nanti..saya boleh bantu belia di kampung saya untuk aktif..keluar dari kepompong.. jangan macam katak bawah tempurung” jawapan itu diberi apabila ditanya mengapa dia berminat. Apabila ditanya lagi..pernah tak timbul perasaan rendah diri apabila beraktiviti dengan komuniti luar ? “bohong kalau saya kata saya tidak rendah diri..takut orang tak percaya pun ye juga, saya tahu ini juga antara sebab mengapa belia kampung saya tidak mahu terlibat dengan program sebegini.. saya yakin jika saya terpilih..saya akan bertambah yakin dan boleh meyakinkan kawan-kawan saya untuk berani keluar, berani bergaul dan aktif bekerjasama dengan persatuan-persatuan belia yang lain”. Rasa terharu dengan semangat calon ini. Antara rasa terpinggir dan rasa ingin berkawan. Antara takut ditolak dan berani bertindak. Antara rendah hati dan yakin diri. Antara risau dipersenda dan semangat menyala.

Menjadi si penemuduga kita akan bertemu dengan ramai manusia. Pelbagai gaya. Pelbagai cita rasa. Pelbagai kekuatan. Pelbagai kelemahan. Pelbagai harapan. Lantas melorong kita untuk mencari diri sendiri dan menilai peribadi.

“Hendaklah kamu mengambil ibarat iaitu pelajaran, perbandingan dan sebagainya, wahai orang-orang yang berfikir” (Surah AlHasyr : 2)

Saturday, August 20, 2011

Terawikh Itu Terawat..

Selamat Berpuasa..Selamat menunaikan ibadah ini yang akan sampai ke titik hujungnya..semoga kita sama-sama memperoleh rahmat dan berkatNya. Semoga Allah menguatkan jiwa kita untuk terus ikhlas dalam beragama dan dalam bersamaNya.

Setiap kali alang pergi ke surau di blok sebelah. Setiap kali itu juga alang akan bertembung dengan sorang makcik yang bertatih-tatih menuju ke surau.  Alang kira-kira umur makcik ni mungkin antara 60 hingga 65 tahun. Bersemangat dia nak memeriahkan malam Ramadhan dengan amalan. Kuat dia untuk beribadat bagi memperoleh ganjaran yang berlipat. Alahai..teringat mak di kampung. Sayu lak..

Dalam hati alang terdetik.. makcik ni duduk rumah anak dia kot. Ye laa kan.. dah tua. siapa lagi yang diharap untuk menjaga. Kalau tidak anak sendiri yang telah dibesarkan sepenuh hati. Jika biasa di kampung sudah pasti tak betah  untuk tinggal di suasana yang berbeza. Tiada ayam..tiada itik..tiada pokok-pokok bunga untuk diurus..tiada tanah keliling rumah untuk disapu sampahnya..tiada suara rakan-rakan mengaji, bertahlil dan bermarhaban. Kasihan makcik.. dapat alang bayangkan resah gelisah mak bila duduk di rumah anak-anak lebih dari dua hari..  macam nak demam... huhuhu.. mak..mak..

Minggu lepas sebelum Alang ke Pantai Timur ni.. Alang sempat berbual-bual dengan makcik...... ( errr..tak ingat plak nama dia heee ). "mak cik duduk dengan anak ?" alang bertanya. "tak.. anak-anak semua lelaki nak.. apalah kita nak harap sangat" mak cik itu tersenyum..tapi bersuara lirih. Kasihan.. terasa bagai ada yang terbuku dalam hati. "ni anak ni.. duduk dengan sape ?" giliran makcik itu bertanya. "duduk sorang makcik.." giliran alang pulak tersenyum dan bersuara lirih ( hahahahaha ). "ooooooo...single lah ni ?" makcik itu menepuk kaki alang. Alang ketawa kecil tapi sedikit terperanjat..'single' ? mak cik itu menyebut 'single'. "kerja mana ?" mak cik itu bertanya lagi. " Petaling Jaya" Jawab alang. "jauh tu.. kerja kerajaan ?" tanyanya lagi. " takk.." alang menjawab sepatah. "ooo.. swasta la ye" makcik itu meneka. " tak makcik.. saya kerja di Badan Bukan Kerajaan.. bukan kerajaan dan bukan swasta.. kerja tolong-tolong orang" alang cuba menerangkan.. harap-harap difahami. tapi memang ramai juga yang tak paham. "mmmm...NGO la nii" Makcik itu bersuara. Alang tersentak. Ops ! makcik ini tau istilah NGO ?.. bermakna makcik ini bukan dari kampung. "makcik dulu kerja di mana ?" Alang plak yang bertanya. Nak tau..siapa makcik ni. " 30 tahun mak cik kerja kerajaan.. last sekali dekat Kementerian Perdagangan. Beli rumah ni.. sebab dapat duit 'gratitude', kalau tak.. tak beli juga.. " mengangguk-ngangguk alang. Bukan sekadar memahami apa yang diperkatakan tetapi terjawab sudah mengapa istilah-istilah itu bleh keluar dari mulut seorang mak cik yang alang jangkakan dari kampung... malu rasanya..rasa cam tak patut Alang memandang 'kampung' pada makcik yang bertatih datang ke surau tu. Kalau makcik ni tau..aduuuiiii.. lagi malu Alang dibuatnya. Malu dengan sikap 'label melabel ni..". kalau makcik yang datang itu bergaya atau melangkah dengan senyuman berkeyakinan atau berantai mutiara berjurai ke dada atau bergelang emas tebal sedepa atau berpakaian sutera bertelekung berbunga pelbagai warna. Maka makcik itu akan dilabel moden, hebat dan berpendidikan. Tapi kalau yang datang itu.. bertatih-tatih atau tidak memakai sebarang perhiasan atau hanya menyarung kurung kedah lusuh atau telekung biasa tanpa sulaman. Maka makcik itu adalah dari kampung ..

Adoooiiiii.. teruk..teruk...tak mau dah alang punyai hati macam ni...malu dengan makcik tu..malu dengan diri sendiri..malu dengan Allah..Astaghrafirullahalazim...

Sesungguhnya Terawikh Itu Terawat. Dalam terawikh tanpa sengaja jiwa alang terawat.. terawat hati ini untuk cenderung menjadi lebih baik.. Semoga Allah mengizinkannya..

Sunday, July 17, 2011

KG. CHUBADAK..

Kami melawat mangsa kebakaran Kg.Chubadak di Dewan Komuniti Sentul Perdana. Bertanya-tanya khabar..bertanya-tanya keperluan.  12 keluarga hanya tinggal sehelai sepinggang. Jika tiada wang simpanan.. ditambah tiada sanak saudara atau sahabat handai menghulur bantuan..aduuuii.. amat sukar nak teruskan kehidupan.  Alhamdulillah.. maklumat keperluan asas mendapat respond baik dari Giant. Sumbangan terus diberi keesokan harinya.

“Terima kasih laa.. akak tak tahu nak cakap apa lagi..” kata seorang kakak.. bersalam erat..bergenang air matanya. 

“Alhamdulillah.. banyak-banyak terima kasih..inilah sumbangan paling banyak kami dapat” Pipi alang dicium kiri dan kanan. Alang rasa.. yang lain pun dicium sama. :)

“Apa nama pertubuhan ni ?” seorang kakak bertanya. “Yayasan Salam Malaysia” Alang membalas dengan jelas. “ ye..ye..memang pernah baca dalam surat khabar.. SALAM”. Alang tersenyum.. “ inilah SALAM rupanya..” kata-katanya terhenti dan kakak itu terus memeluk kami.

Tak berhenti kami nyatakan.. kami hanya orang tengah sahaja. Tak berhenti juga kami memaklumkan Giant yang memberi sumbangan ini semua. Tetapi.. masih tak berhenti juga kami mengungkap perkataan ‘sama-sama’..

Sebelum kami tinggalkan mereka. Sempat kami mengagihkan keperluan utama. Hanya tinggal pampers dan susu bayi sahaja. Itu kami serahkan kepada mereka untuk menguruskannya. Sebab hanya keluarga tertentu sahaja yang layak menerima. 

“kami balik dulu ya..”  Kami minta diri untuk pulang. Tapi ucapan itu bagai tidak didengari.. kerana  masing-masing sibuk memberi cadangan bagaimana nak mengagihkan pampers dan susu bayi supaya tidak timbul rasa tidak puas hati.

Sekali lagi ucapan itu diulangi.. hanya sekadar ingin memaklumi.. tapi  jelas ternyata.. berdirinya kami di situ bagai tidak disedari. Lama-lama kami mengundur diri.. tanpa sesiapa melambai atau menyatakan.. ‘jumpa lagi’. Hanya diiringi senyuman sendiri.. kami melangkah pergi.. hihihi... 

Bila difikir-fikirkan..jika diri ini salah seorang mangsa kebakaran yang aktif memberi cadangan.. agaknya tindakan itu jua dilakukan.. apa yang nak dipelikkan ? tindakan spontan :) 

Tuesday, July 12, 2011

9 JULAI ITU..

9 JULAI.. Bila Bersih berarak dan bila polis bertindak. Kita plak yang stuck. Tak tau bagaimana nak bergerak. Setiap arah ada sekatan. Hanya bergerak ikut arah yang polis tunjukkan, sampai di hujung jalan.. ada yang hilang panduan. Mencari alternatif sendiri..akhirnya bertemu polis lagi.. dan lagi..dan lagi.. dan lagi..haiii…

Apa-apa pun Alhamdulillah..meski pelbagai halangan 14 sukarelawan sampai ke opis dengan jayanya. Di SALAM  alang memang mengenali  insan-insan yang penuh komited dan dedikasi. Dan 9 Julai itu.. Alang cukup insaf.. sesungguhnya insan-insan itu.. bukan sahaja  komited dan dedikasi tetapi ikhlas dan berjiwa suci. Segala sekatan dan cabaran tekad diredahi. Demi merealisasi misi dan visi. Demi membantu sasaran yang memerlukan. Tanpa mengira bangsa dan anutan. Tak tahu apa bentuk balasan.. Hanya Allah jualah yang berhak membalasi.. kerana hanya Dia jua yang  Maha Mengerti..

Akhirnya menjelang jam 2.00pagi, Modul Peningkatan Penguasaan Bahasa Malaysia khusus untuk SKT Tamil Rawang berjaya disiapkan.  Jam 7.00 pagi..kami bergerak dari SALAM ke SKT Rawang..

Masuk sahaja ke dewan.. berterusan kami diraikan dengan tepukan. Rasa seronok dengan sambutan. Bersemangat bila diberi penghargaan.  Wajah-wajah peserta diperhatikan satu persatu..ceria sungguh mereka. Tapi dalam hati ini.. terlintas rasa ‘awas’ kerana memang sedia dimaklumi pelajar yang menyertai program ini adalah pelajar yang amat lemah penguasaannya dalam  Bahasa Malaysia sehingga cikgu-cikgu sudah habis cara lalu menjemput kami  yang tak tentu taranya.

“aka..kenapa buat satu hari saja ?” seorang kanak-kanak perempuan bertanya tika alang bersalam dengannya . “mmm..” nak jawab apa nih.. alang tercari-cari jawapan yang sesuai. “aka.. lepas ni buat 3 hari ya..” kata kanak-kanak itu tersenyum dan terus berlari mendapatkan rakan-rakannya. Tersenyum alang dibuatnya . Tiba-tiba telinga menangkap nama alang dipanggil “Cik zakiah..” Alang terus berpaling. Cikgu Siva, Guru Bahasa Malaysia SKT itu. “Ya.. Cikgu”. “ada masa tak dalam bulan 9 ? kita buat sekali lagi ?” Cikgu berharap. Alang serba salah. Cuba  berkira-kira dan mengingat-ngingat. Confirm tiada yang kosong. “sori cikgu.. jadual kami dah penuh..” kasihan tengok cikgu yang penuh semangat itu.”err..tapi tahun depan maybe..sebab jadual masih kosong” Alang  cuba memenuhi permintaan. “ok..kita buat Januari ya..saya booking Januari ! Ingat ya ! pantas Cikgu Siva membalas sambil erat bersalam.  Bersungguh-sungguh dia mengingatkan. Bersungguh-sungguh dia mengharapkan. 

…………………….

Sahabat-sahabat.. meski pengorbanan kalian tiada balasan. Senyuman di wajah kanak-kanak itu cukup menggambarkan usaha kalian telah mengisi kekosongan. Meski tiada ganjaran dijanjikan.. genggaman erat dan harapan yang menggunung Cikgu Siva..jelas menggambarkan sumbangan kalian amat didambakan.  Tahniah ! kerana dalam banyak-banyak insan.. kalian yang telah dipilih tuhan..Untuk terus terusan melakukan kebaikan..  :)