Thursday, May 5, 2011

MAKAN..MAKAN & MAKAN...

Jika kita pengamal Detox, bukanlah satu masalah jika kita tidak menjamah sebutir nasi pun selama seminggu. Jika kita pengamal Detox, kita tidak kisah menurut syarat-syarat untuk hanya  memakan salad, tomato, karot, pisang atau susu selama tempoh itu. Kenapa kita mengurangkan kadar makanan harian ? kenapa kita sanggup mengosongkan perut ?.. semua itu kita lakukan dengan rela sebab kita tahu manfaatnya..sama juga jika  kita berpuasa.  Tetapi jika kita dipaksa untuk berlapar sedang kita boleh untuk kenyang ? Bagaimana ? sudah pasti kita tertekankan ? Jika kita dipaksa memakan sayuran sedangkan  nasi yang menjadi rutinan terhidang di depan mata tetapi dilarang menyentuhnya  ? bagaimana ? mesti jiwa kita rasa meronta-rontakan ? 

Hakikatnya itu lah kita.. itulah kita yang pantang perut bunyi berkeriut.. mulalah otak ligat berputar..nak makan apa ? nak makan di mana ? nak ajak siapa ? jika ada duit lebih..mmm.. tidak mengapa dilaburkan sedikit.. bukan untuk orang lain..untuk perut sendiri juga.. heee.. jika duit seperti biasa tetapi mahu makanan yang gred A.. jom lah ke Bomba.. jika duit seperti biasa juga tetapi mahu makan yang biasa-biasa.. seksyen 8 atau 14 la jawabnya.. yang terbaru cafĂ© NPC . apa-apa pun atau di mana-mana pun.. tak mengapa.. yang penting keriutannya perlu didiamkan. Bila keriutnya sudah diam, kita pula yang bungkam,kaki macam dah kena gam, otak dah macam lembam..sebab perut penuh dengan isi yang macam-macam.. mmm… itu lah kita.. Alang sebenarnya…Astagrafirullahala’zim.. 

Kenapa Alang cerita bab makan plak nih ? sebenarnya perut Alang sekarang dah lebih muatan. Jika ia disamakan dengan lori..silap hari bulan berpotensi menjadi tahanan JPJ. Dalam perut ni.. ada lebih 10 ulas durian Batu Kurau.. dalam perut ini juga ada nasi berlaukkan ikan siakap bakar, sotong goreng tepung, kangkung goreng belacan dan air tembikai. Tak cukup lagi dengan itu.. ia ditambah pula dengan jeruk mangga, jambu air madu dan pelbagai jenis asam…kuaci juge.. eeee.. ( bila baca semula perenggan ni.. Alang tertanya sendiri.. perut Alang ke tu ? eeee.. bukan lah ! bukan ! bukan ! .. mmmm.. sebenarnya YA ! memang ye pun..perut jenis ape tu ? Astagrafirullahala’zim…. )

Bila perut dah kenyang.. lebih banyak perkataan ‘adooooiiii’ dari Alhamdulillah.. Astagrafirullahala’zimmmm !!. itulah kalau kita terlalu kenyang.  Memang buruk ! Memang Teruk ! Masa dah kenyang baru nak menyesal. Masa makan tadi.. Ambooiiii … agaknya syaitan bukan main lagi..menyua-nyua makanan yang masih belum habis… “ambik yang tu” “ambik yang tu plak” “eee.. jgn membazir nanti jadi kawan kami..”. Sudahnya kita yang merana kekenyangan.  jangan laa.. mati masa kenyang nih.. menyusahkan orang nak uruskan jenazah je... eeee.. X mou ! X mou !

Rasa berdosa.. Terimbas Hadis Rasulullah SAW “Orang yang paling kenyang makan di dunia akan menjadi paling lama lapar pada hari kiamat.” (HR. Al Hakim).  Lagi satu Sabda baginda, maksudnya; “Janganlah kamu mematikan hati dengan banyak  makan dan minum, walau pun yang halal. Kerana hati itu ibarat tumbuh-tumbuhan, ia akan mati jika terlalu banyak disirami air”. Allah SWT juga dah memberi peringatan  dalam Al Quran maksudnya; “Makan minumlah kamu, tetapi jangan berlebihan” (Surah Al ‘Araf ayat 31).

Dah tu kenapa dibuat ? Ampun Ya Allahhh…Semoga Allah memimpin dan membimbing Alang yang mudah lupa ini..dalam rasa bersalah…terlayang fikiran Alang pada 3 orang kanak-kanak  yang tinggal di rumah PPRT di Seremban Selatan.. Aduhhhh.. apalah yang mereka makan malam ni kan ? kasihaaaannn..

Adik-beradik itu..Alang temui ketika bersama-sama Group My Ole-Ole Seremban.. Yani, Aniza, Ash & Su. Turut disertai oleh Pelajar-pelajar Kolej Mara Seremban  dan  AADK Seremban.Projek ini adalah projek mengagihkan makanan kering dan tahan lama seperti beras, minyak masak, susu, tepung, gula, garam, kordial dan sebagainya kepada keluarga-keluarga yang daif.  

Alang tengok jam.  Dah Pukul  11.19 malam. Sudah pulangkah ibu mereka membawa makanan ? atau sekarang  mereka sedang menikmati sebiji burger seorang bagi mengalas perut yang seharian tidak menjamah makanan atau tertidur dalam kelaparan tika menunggu  ibu yang tidak pulang-pulang..
……..
Hari itu..Kak Yam ( AJK Masjid merangkap penunjuk arah ) membawa kami ke deretan rumah PPRT. “dok sini dulu ya.. biar akak tengok.. takut pulak kalau tak ada kat rumah “ bergegas Kak Yam keluar dari kereta. kami yang berjumlah 16 orang menunggu di tepi jalan. Menunggu dan menunggu…  dari jauh nampak Kak Yam berjalan bersama  3 orang kanak-kanak. Melangkah agak lambat..takut..takut.. bertolak-tolak mereka di belakang Kak Yam. 2 lelaki seorang perempuan.
“Mak diaorang keje.. diaorang je ada.. baru balik dari sekolah” Kak Yam menyampaikan maklumat itu. Seorang demi seorang muncul dari belakang Kak Yam. Bersalam dan mencium tangan kami. “ yang ini darjah 6.. yang ini darjah 3..yang bongsu ni darjah 1” Kak Yam mengusap-ngusap kepala yang bongsu. Malu mereka diperkenalkan.. tersenyum dan pandangan dilarikan ke tanah. “jom lah ! kita tengok rumah diaorang..” ajak Kak Yam. Kami bergerak..berlari anak-anak itu  ke rumah mereka. Sampai di hadapan rumah. Ada 4 cermin tingkap telah pecah. “masuklah..tapi maaf rumah kami bersepah” kata adik perempuan yang berada di darjah 3. Di kuis-kuisnya sampah masuk ke bawah TV. Si abang dan si bongsu pantas mengalihkan baju-baju yang belum berlipat.  Berlari adik perempuan itu mendapatkan tikar dan membentangkannya di hadapan TV… Alahaii..terasa sayu melihat kesungguhan mereka melayan kami. Mata ini liar memandang sekeliling.. agak tak terurus rumah ini.. ya laah..hanya mereka yang tinggal. Ibu mereka berulang-alik setiap hari ke Kuala Lumpur. Seawal pagi keluar dan lewat malam baru kembali. “budak-budak ni jarang makan tengah hari.. nanti mak diaorang balik dalam pukul 11 malam.. baru makan” bisik Kak Yam. Tersentak Alang dibuatnya. Mata alang memandang rakan-rakan yang lain. Bagai ada rasa yang sama. Bagai ada sedih yang menjerut jiwa. “adik-adik lapar tak ?” Alang bertanya. Mereka bertiga saling berpandangan. Yang sulung mengeleng perlahan. Yang kedua pun sama. Yang bongsu bagai menelan air liur. “mmmm…adik-adik nak makan tak ?”. Pantas mereka mengangguk-ngangguk kepala. Manis wajah mereka dihiasi senyuman. Ada terselit sedikit senyum malu kerana menyembunyikan rasa kosong di perut tadi. Tak mengapa adik..keletah kanak-kanak..sukar untuk menipu.

Adik-adik itu dibawa ke kedai makan. Sementelahan itu rakan-rakan sukarelawan yang berada di rumah tidak duduk diam. Menyusun buku yang  tidak tersusun. Membasuh pinggan yang tidak terbasuh.  Menyapu sampah yang bersepah. Membuang sampah yang lama terbiar. Dan macam-macam lagi. Licin rumah itu dikerjakan. 

Apabila mereka pulang membawa beberapa bungkusan makanan. Kami sudah bersiap sedia untuk pulang. Sengaja buat begitu, takut mereka segan menyuap makanan bila banyak mata yang memandang. Masuk sahaja ke rumah..adik-adik itu terus bersila di lantai. Bersedia membuka bungkusan. Tapi terhenti seketika  “adik-adik.. akak dengan abang balik dulu ya.. jangan nakal-nakal.. belajar rajin-rajin tau. Mm.. di belakang tu ada sumbangan barang-barang makanan dari kami..nanti bagitau mak ya “ kata wakil kami .  Mereka mengangguk laju, jari jemari pantas membuka bungkusan. Tangan kanan terus menyuap makanan, tangan kiri melambai tak henti.. mulut yang penuh dengan makanan tak lekang dengan senyuman. Mata yang redup menahan lapar, kembali bercahaya dan cerah bersinar.  Comel..

2 comments: