Monday, March 21, 2011

CERITA PAUH 5

Alang bercerita tentang konsep syukur kepada peserta yang berjumlah 87 orang itu. Betapa mereka bertuah. Meski ibubapa bukan orang senang..tetapi mereka tidak perlu pergi bekerja selepas pulang dari sekolah. Meski ibubapa mereka garang dan kuat berleter tetapi mereka masih memperoleh wang saku setiap kali melangkah ke sekolah. Mereka perlu bersyukur kerana mereka tidak seperti seorang kanak-kanak seusia mereka di SK Seri Lagenda Langkawi.


Alang bertanya " siapa yang bekerja selepas pulang sekolah ?. Angkat tangan ". Alang memandang setiap mereka. Hampir semua mengeleng kepala. Sebahagiannya pula memandang-mandang rakan sekeliling "ada tak yang bekerja ?, ada tak yang macam kawan kita di Langkawi tu ?" sekali lagi Alang bertanya. Mata Alang tertumpu pada sekelompok peserta yang sedang mencuit-cuit seorang peserta yang bertubuh besar. Peserta itu mengeleng-ngeleng kepala, seboleh-boleh dia menundukkan kepalanya ..mukanya hampir-hampir mencecah lantai. Hati Alang terdetik..mungkinkah di sini ada juga yang bernasib malang tetapi tetap gigih berjuang ? 


"Irfan (bukan nama sebenar), Irfan kerja ke ?" Alang bertanya. Rakan-rakan yang duduk di sekitarnya mengangguk-nganguk kepala mengiyakan. Kepala Irfan hampir-hampir tak kelihatan ketika itu. "Irfan.. meh sini.." Alang memanggilnya ke hadapan. Seikhlasnya..sejujurnya agar dia kehadapan dan boleh menjadi contoh kepada rakan-rakan. Rakan-rakan tak henti-henti mencuitnya, mendesak dia bangun dan  kehadapan. Lama-lama kepalanya diangkat dan matanya memandang kehadapan. Alang senyum dan melambai. Dia bangun lambat dan berjalan kehadapan dengan gaya dipaksa.


Apabila dia sampai di hadapan."Irfan kerja ya ?". Alang bertanya dengan nada perlahan..risau jika menggunakan pembesar suara, Irfan malu untuk bercerita. Kanak-kanak itu mengangguk perlahan. "Irfan kerja apa ?" Alang bertanya lagi. "Cuci rumoh" katanya dalam loghat kelate. "Cuci rumah orang? sorang-sorang ?" soalan ditanya lagi. "dok..ikut pak sedaro" Jawabnya.."mmm.. pak saudara ada syarikat bersih-bersih rumah ya ?" Alang inginkan kepastian. Dia mengangguk. "ooo.. setiap hari ?" Alang tanya lagi. " satu rumoh satu hari" dia jawab. mmm..mungkin kerja ini dihadkan kerana dia perlu menyiapkan tugasan sekolah. Alang berfikir. "mmm..upah dapat berapa ?"Alang cuba mengorek lagi. " tigo ria " dia menjawab..lagi perlahan bunyinya hampir tak didengari.

Sebak Alang dibuatnya. Rupa-rupanya bukan Eisya seorang yang ditakdirkan hidup dalam kemiskinan. Di sini pun ada yang mempunyai latar kesusahan yang sama. Tidak terbayang bagaimana mereka berdua menjalani kehidupan harian..pasti mereka teringin bermain bola, tetapi dipadam cepat-cepat dalam ingatan. pasti mereka teringin bermain pondok-pondok, tetapi terus rasa itu ditahan. Pasti mereka teringin menunggang basikal mengelilingi kampung, tetapi hajat itu ditunda. Pasti mereka teringin ke kedai runcit dan berkongsi makanan ringan bersama rakan-rakan, tetapi keinginan itu ditutup rapat. Mereka tidak mampu..mereka tiada masa..mereka terpaksa mengutamakan sesuatu yang tidak sepatutnya diutamakan. Mereka melakukan sesuatu yang kanak-kanak lain tidak mahu lakukan. Mereka melaksana amanah yang hakikatnya berat untuk ditanggung oleh jiwa seorang kanak-kanak. Kasihan..


Sebak di dada Alang bagai mengelukan lidah untuk terus berkata-kata. Air mata hampir menitik. Aduuuhh.. Ya Allah tolong laaa... aku tak mau menangis.. tak mau terbawa-bawa dengan kisah 2 kanak-kanak yang tabah ini. Mereka telah melaluinya dan itulah rutinnya.. dan cerita mereka ini harus dicontohi oleh rakan-rakan yang lain. Wajar diambil ikhtibar.Sesungguhnya untuk semua..kehidupan ini wajar disyukuri dan dihargai.

Alang memandang Irfan yang telah kembali duduk di tempatnya..Semoga Allah memudahkan segala urusannya. " Ok.. adik-adik..lihat Irfan..terpaksa bekerja..dapat upah.. dan dengan upah itu dia buat belanja di sekolah " Alang cuba menyusun ayat dan menuturkannya baik-baik..Alang nampak Irfan tersenyum-senyum. Alang nampak peserta yang mencuit-cuitnya tadi pun tersenyum-senyum juga.

"Kenapa senyum ?" Alang pelik sebenarnya. " Dio buke buak belanjo sekoloh..dio p CC " jawab salah seorang peserta sambil ketawa. Air mata Alang yang hampir menitik tadi bagai terus tersejat. Lidah Alang yang kelu tadi serta merta hilang kelunya. Sebak di dada Alang tadi bagai terus terbang  dan hilang... " duit upah tu Irfan buat apa ?" Alang bertanya. Irfan senyum-senyum malu. "Dio maing game". Mencelah suara salah seorang rakannya. Irfan terus tersenyum lebar..merah mukanya. Rakan-rakan lain terus terusan ketawa. Irfan..Irfan.. Alang cuba mengawal suasana walau terasa ingin ketawa. Bukan pada Irfan tapi pada diri Alang sendiri...

"ha.. tengok Irfan nak main game pun cari duit sendiri.. kamu semua pergi main game guna duit mak, ayah dan penjaga kamu.. betul tak ? " .. " betuuul !!! " Semua peserta menyahut. " jadi siapa yang bagus di sini ? Irfan ke kamu ?" .. " Irfaaaan !!!" Semua peserta menjawab serentak. " Irfan pula.. lebih baik duit upah itu disimpan.. masuk tabung..duit tu nanti boleh beli buku..boleh ganti alatulis yang dah lama..yang dah rosak..betul tak ?" Irfan mengangguk ngangguk sambil menundukkan kepalanya kembali.

Alang tersenyum melihat wajah-wajah suci di hadapan.. tulus dan telus..

Senyum Alang bertukar menjadi sengeh pula..bila membayangkan wajah Alang sebentar tadi.. emosi tanpa isi. Sebak tanpa sebab. Kelu tanpa tahu. :p

2 comments: