Wednesday, September 21, 2011

JAUHNYA PERJALANAN...

Bidalan orang  tua.. jauh perjalanan luas pemandangan maka banyaklah pengalaman. Itu betul jika kita menjadikan perjalanan yang jauh itu dan pemandangan yang luas itu sebagai mekanisme untuk menambah pengalaman.  Bukan setakat melihat ciptaanNya di alam yang luas ini.. tetapi roh penciptaan itu sendiri. Bukan setakat berjalan merentasi denai, jalan, hutan, sungai, laut dan awan-gemawan tetapi roh perjalanan dan penyaksian itu sendiri.  Bukan setakat merasa segar menghirup kedinginan pagi tetapi menjiwai  roh ketenangan yang menjadi kembarnya. Justeru bukan setakat pengalaman diperoleh tetapi kesedaran sebagai entiti yang sangat kecil jika dibandingkan dengan alam yang luas ini. Kesedaran sebagai entiti yang tidak memiliki apa-apa jika tidak diizinkan untuk memilikinya.  Kesedaran sebagai entiti yang hidup sehingga kehidupan itu dinoktahkan. Kesedaran sebagai entiti yang berdaya atas kemampuan yang dianugerahkan dan lemah atas kekurangan yang ditakdirkan. 

Semoga akal yang ada ini masih mampu berfikir dan menimbang.. semoga hati yang ada ini masih mampu mendetakkan rasa insaf dan syukur.. semoga mata yang ada ini masih mampu melihat ikhtibar di sebalik kejadian..semoga telinga yang terpasang ini masih cenderung merisik kebaikan..semoga  jasad yang dipinjamkan ini masih mampu menjadi entiti yang punya rasa ingin memberi untuk menjadikan hidup ini lebih bermakna.. 

Allah SWT berfirman dalam wahyunya yang bermaksud “ maka tidak pernahkah mereka berjalan di muka bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang ada di rongga dada” ( Al-Hajj :46 ) 

Semoga hati kita baik terpelihara..Insyaallah

No comments:

Post a Comment