Sunday, September 4, 2011

MYCorps DI KUANTAN..

Wow ! Bulan Puasa ke ? soalan itu ditujukan kepada Tini, orang kuat Unit Pembangunan Sukarelawan KBS. “ dah tak ada masa kak lang, boleh la ye..” Tini seperti memberi kata putus dalam lentok bahasa yang lembut. ”Insyaallah.. boleh..” Alang cuba bertolak ansur tetapi memang teruja untuk menjayakan Siri Temuduga MYCorps. Bergerak dari Petaling Jaya, Selangor ke Kuantan Pahang, seterusnya ke Kuala Trengganu kemudian ke Kota Baharu Kelantan dan akhir sekali ke Ipoh Perak. Dalam tempoh 8 hari. Memandu sendiri. Dalam Bulan Ramadhan !.  Alang tersenyum.. mmm.. tak pernah rasa lagi pengalaman macam ni. Boleh ke ? cuba dulu.. tak daya kita buke.. alang cakap pada su. Su akan jadi co-pilot.. kami akan bergilir-gilir, Alang memandu..dia tidur. Dia tidur..Alang memandu hahahaha. 

Cerita di Kuantan..bukan calon sahaja yang terduga. Si penemu duga pun terpaksa menempuh dugaan. Rasa macam nak ketawa campur rasa nak menangis teresak-esak. Huhuhu.. Alang tak ingat calon ni.. calon yang ke berapa. Dia masuk aje..wah ! struktur fizikalnya lagi tinggi dan lagi besar dari kami berdua. “Boleh saya duduk” dia memulakan bicara. Kami mengangguk. “Siapa nama saudari berdua ?” Aik ? ini sape yang temuduga sape ?.  Calon ini gayanya hebat. Jaringan kerjanya juga kedengaran hebat. Kenal orang besar itu dan orang besar ini. Buat kerja itu dan buat kerja ini. Tahu konsep itu dan tahu pendekatan ini. Soalan ditanya satu.. jawapan diberi seribu. Soalan ditanya dua jawapan diberi sejuta. Akhir sekali, dia beri pendapat. “kalau saya jadi saudari berdua.. saya tak akan pilih budak-budak kat luar tu.. merapu !” Dia merujuk kepada calon-calon lain yang sedang menunggu di luar. ‘Hebat’kan calon ni ? heeee… 

Masuk pulak calon seterusnya. Cuak-cuak. Malu-malu. Alang tersenyum. Inilah gaya calon temuduga !. “saya adalah orang asli.. saya yakin dengan ilmu yang saya dapat nanti..saya boleh bantu belia di kampung saya untuk aktif..keluar dari kepompong.. jangan macam katak bawah tempurung” jawapan itu diberi apabila ditanya mengapa dia berminat. Apabila ditanya lagi..pernah tak timbul perasaan rendah diri apabila beraktiviti dengan komuniti luar ? “bohong kalau saya kata saya tidak rendah diri..takut orang tak percaya pun ye juga, saya tahu ini juga antara sebab mengapa belia kampung saya tidak mahu terlibat dengan program sebegini.. saya yakin jika saya terpilih..saya akan bertambah yakin dan boleh meyakinkan kawan-kawan saya untuk berani keluar, berani bergaul dan aktif bekerjasama dengan persatuan-persatuan belia yang lain”. Rasa terharu dengan semangat calon ini. Antara rasa terpinggir dan rasa ingin berkawan. Antara takut ditolak dan berani bertindak. Antara rendah hati dan yakin diri. Antara risau dipersenda dan semangat menyala.

Menjadi si penemuduga kita akan bertemu dengan ramai manusia. Pelbagai gaya. Pelbagai cita rasa. Pelbagai kekuatan. Pelbagai kelemahan. Pelbagai harapan. Lantas melorong kita untuk mencari diri sendiri dan menilai peribadi.

“Hendaklah kamu mengambil ibarat iaitu pelajaran, perbandingan dan sebagainya, wahai orang-orang yang berfikir” (Surah AlHasyr : 2)

No comments:

Post a Comment